28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Wan Saiful patut nasihat pemimpin Bersatu terlebih dahulu

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

REAKSI Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang menafikan dakwaan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan bahawa UMNO dianaktirikan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agak melucukan.

“Tuduhan anak tiri tak betul. Dalam Kerajaan PN mereka (UMNO) kena banyak berkorban,” kata Wan Saiful.

Lebih menarik lagi apabila Wan Saiful menggesa UMNO berhenti keluarkan kenyataan yang menyebabkan timbulnya perpecahan, masalah dan krisis dalam kerajaan PN.

Wah, bagus sekali nasihat Wan Saiful tetapi sepatutnya sebelum buat kenyataan macam tu lebih baik Wan Saiful sampaikan dulu nasihat tersebut kepada pemimpin-pemimpin Bersatu.

Kalau mahu bercakap soal berkorban, rasanya UMNO bukan lagi berkorban tetapi dah nak terkorban akibat bersedia untuk bersama Bersatu menubuhkan Kerajaan PN.

Tanpa UMNO, belum tentu Bersatu kekal menjadi kerajaan dan Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Wan Saiful Wan Jan dan Shahril Hamdan ketika program Wacana Sinar Harian, semalam. – Foto Ihsan Sinar Harian

Tetapi UMNO berkorban dan melakukan pengorbanan besar apabila tidak ada pemimpinnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun sepatutnya jawatan itu diberikan kepada parti tersebut memandangkan UMNO memiliki kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti yang berada dalam Kerajaan PN.

Kita faham kenapa jawatan itu tidak diberikan kepada UMNO. Ia disebabkan jawatan itu harus disandang oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, tetapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang berhadapan dengan 87 pertuduhan di mahkamah melibatkan salah gua kuasa dan rasuah.

Bagaimanapun itu bukan bermakna, UMNO harus dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’, kalau mahu bercakap soal membuat kenyataan yang boleh membawa perpecahan, rasanya Wan Saiful ‘salah alamat’. Yang kerap berbuat demikian ialah pemimpin Bersatu.

Advertisements

Memang benar ada kalangan pemimpin UMNO yang lantang mengkritik Kerajaan PN tetapi cuba kaji adakah ia bermaksud mahu memburuk-burukkan Kerajaan PN?

Bukan itu tujuannya, apa yang disampaikan oleh pemimpin UMNO adalah suara rakyat, apa salahnya kalau pemimpin Bersatu menerima teguran tersebut dari segi memperbaiki kelemahan kerajaan bukannya bermotif politik?

Bersatu kena ingat yang memerintah sekarang bukan gabungan Pakatan Harapan yang pernah Bersatu sertai dahulu, ini Perikatan Nasional. Justeru sudah tentulah pemimpin-pemimopin parti dalam kerajaan PN tidak mahu berperangai seperti parti-parti dalam PH.

Sudah berada dalam gabungan kerajaan bukan bermakna, semuanya kena diam sahaja, tidak boleh menegur atau mengkritik. Tak bolehlah macam tu, teguran dibuat demi kebaikan sebab kalau Kerajaan PN tersalah langkah yang akan terpalit sama termasuklah UMNO.

Wan Saiful sepatutnya mengkaji dulu adakah apa yang dikatakan oleh Shahril betul atau tidak dan rajin-rajinlah baca keluhan rakyat dalam media sosial. Kena akui dan jangan berada dalam sindrom penafian bahawa Kerajaan PN dilihat ada banyak masalah dalam menangani isu rakyat.

Ia bukan salah Muhyiddin tetapi ia berlaku kerana sesetengah menteri dilihat tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan. Sama ada perkara itu betul atau tidak, itu soal kedua. Yang penting inilah persepsi rakyat.

Pemimpin Bersatu perlu ingat dulupun PH menang PRU-14 bukannya kerana mereka kuat tetapi disebabkan persepsi yang diwujudkan oleh PH termasuklah Bersatu terhadap Barisan Nasional dan UMNO ketika itu.

Penulis setuju sebarang masalah perlu dibincangkan secara dalaman tetapi adakah sikap ini dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin Bersatu. Tak kan hanya UMNO sahaja kena bersikap begitu sedangkan pemimpin Bersatu bercakap sedap mulut sahaja?

Penulis akui ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang banyak cakap tetapi tidak semua berniat tidak baik kepada PN. Kalau kenyataan dibuat bermotif politik semata-mata tidak payahlah layan, apatah lagi kalau yang buat kenyataan itu, pilihan raya pun kalah.

Tetapi ada banyak isu yang dibangkitkan oleh pemimpin UMNO berteraskan kepada keluhan rakyat, tak kan itupun tak boleh?

Justeru sementara penulis menghormati nasihat Wan Saiful, pada masa Ketua Penerangan Bersatu itu perlu sampaikan pesan kepada kawan-kawannya, kalau betul mahu menjaga hubungan, tidak mahu ada masalah dalam kerjasama PN, belajarlah menghormati UMNO sebagai penentu hidup mati Kerajaan PN….itu sahaja, mudahkan?

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan