29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bot nelayan Indonesia terlajak ceroboh perairan Malaysia

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak telah menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 32.1 batu nautika barat laut Pulau Jarak awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot nelayan Indonesia yang dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Indonesia berumur dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun itu dipercayai telah memasuki kawasan perairan Malaysia bagi tujuan penangkapan ikan.

Menurut beliau, bot nelayan terbabit telah dikesan oleh KM GAGAH semasa melaksanakan OP Benteng.

“Bot serta kru telah ditahan untuk disiasat di bawah seksyen 15(1) (A) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Siasatan turut dilakukan mengikut sekyen 6 (1) (A) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan seksyen 6 (1) (C) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Maritim Malaysia malam tadi.

bot nelayan
Hasil tangkapan yang dirampas. Gambar: Maritim Malaysia

Terdahulu, bot KILAT 11 yang sedang melaksanakan OP Benteng juga telah mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan muara Sungai Perak malam kelmarin dan disyaki melakukan aktiviti mencuri benih kerang.

Shahrizan memberitahu, menyedari kehadiran bot penguat kuasa, semua suspek meninggalkan bot dan melarikan diri ke daratan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot fiber tersebut sedang melakukan aktiviti mencuri benih kerang dan disyaki tidak mempunyai Lesen Mengambil Kerang serta tidak mematuhi Peraturan–Peraturan Perikanan iaitu Pemuliharaan Dan Kultur Kerang 2002,” jelasnya.

Beliau menambah, rampasan benih kerang dianggarkan 10 kilogram serta bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Setiawan Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Untuk makluman, Op Benteng melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Kelmarin, Op Benteng telah berjaya menahan 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong serta merampas 11 buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

Dalam operasi itu juga, sebanyak 125 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 12 aktiviti penglihatan.

Pada masa sama, seramai 34 orang PATI turut diusir melalui empat aktiviti pengusiran. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan