27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tak sangka proklamasi Darurat dibantah orang yang menciptanya

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau tidak menyangka Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong akan dibantah oleh individu yang mencipta peruntukan tersebut.

Beliau berkata, pindaan peruntukan itu dibuat pada sekitar tahun 1980-an di awal pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, dalam ingatan beliau, pindaan Perlembagaan Negara mengenai Darurat dibuat untuk memudahkan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat. 

Katanya, berbeza dalam tahun 1977, untuk mengisytiharkan Darurat di Kelantan ia mesti terlebih dahulu dibentang dalam sidang khas Parlimen. 

“Ketika itu saya di universiti dan di kalangan aktivis mahasiswa banyak membincangkannya, kerana ia menjadi isu besar. Saya tidak sangka hanya dalam tahun 2021, 30 tahun kemudian peruntukan ini baru digunakan. 

“Paling tak sangka yang membantahnya pula ialah orang yang menciptanya,” tulisnya di Facebook beliau hari ini.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengisytiharkan darurat yang akan dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif bagi membendung pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di Malaysia.

Semalam, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dianggotai Dr Mahathir dilapor akan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi memohon darurat ditarik balik, selewat-lewatnya esok.

Timbalan presiden penajanya Marzuki Yahya berkata, surat itu akan mewakili permintaan kesemua empat orang anggota parlimen Pejuang.

“Kita dah siapkan surat. Mungkin akan hantar hari ini atau selewat-lewatnya esok,” kata Marzuki.

Baru-baru ini, Dr Mahathir berpendapat kerajaan mempunyai kuasa yang cukup untuk menangani penularan Covid-19 tanpa perlu mengisytiharkan darurat.

Bekas Perdana Menteri berkata, ia berikutan rakyat di negara ini patuh kepada arahan kerajaan yang membabitkan sekatan pergerakan.

Beliau berkata, semua pihak juga tidak tahu setakat mana pengisytiharan darurat itu boleh mengikat rakyat daripada bergerak.

Katanya, keadaan di negara ini berbeza dengan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang segala arahan atau sekatan diumumkan kerajaan mendapat tentangan daripada rakyatnya.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan