32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Kes Covid-19 tinggi: Ahmad Zahid ajak rakyat Malaysia berdoa

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat Malaysia terus berdoa agar pandemik Covid-19 yang semakin ‘memburuk’ di negara ini segera berakhir.

Dalam catatan Facebook beliau, Ahmad Zahid berkata, beliau amat menyokong inisiatif pengurusan masjid atau surau melakukan zikir, munajat dan berdoa supaya tiada lagi pandemik Covid-19 di Malaysia.

Menurutnya, ikhtiar itu boleh dilakukan dengan menggunakan alat pembesar suara di masjid atau surau dan disertai penduduk di rumah masing-masing di seluruh negara. 

“Semoga doa yang berterusan akhirnya di makbulkan Tuhan. Akhirat di depan. Aamiin ya rabbal alamin… 

“Bagi penganut agama lain, bolehlah kerap berdoa mengikut anutan masing-masing,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ketika rakyat terlalu sibuk memikirkan prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah menangani jangkitan wabak Covid-19, jangan sesekali kita semua lupa kepada yang maha berkuasa. 

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A’raf, ayat 180).

“Kita perlu yakin setiap doa dipanjatkan kepada Allah S.W.T tidak akan ditolak. Allah Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Mendengar, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 

“Percaya juga kepada kekuatan dan iradat Allah S.W.T, “Kun Fayakun” [Jadilah, maka jadilah…],” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memasuki hari ketujuh, rakyat masih tertunggu-tunggu impak positif PKP kali ini bagi mengurangkan kadar jangkitan yang sangat tinggi. 

Bagaimanapun katanya, dalam hati rakyat kian resah apabila kes terus mencanak dan ekonomi masih goyah manakala kehidupan mereka masih perlu diteruskan walaupun dalam keadaan yang sukar. 

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada ketibaan vaksin ‘esok’ sehingga menggadai nasib rakyat ‘hari ini’. 

“Kita juga tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai negara yang gagal melawan Covid-19 di mata dunia. 

“Ia boleh memberi kesan signifikan secara langsung dan tidak langsung kepada ekonomi negara. Apabila ekonomi terkesan, kemaslahatan hidup rakyat juga akan terkesan,” katanya.

Terkini

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan...

Lagi Artikel Berkaitan