29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Gambar tular diambil sebelum PKP dilaksana – Timbalan Menteri

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Selepas dua laporan berita mendakwa Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) heboh diperkatakan sejak malam tadi, pejabat menteri itu tampil menafikan dakwaan artikel tersebut pagi ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I berkata, dua portal telah memuat naik artikel yang mendakwa Dr Noor Azmi menerima kunjungan hormat daripada sekumpulan individu di pejabat beliau.

Pejabat Timbalan Menteri menegaskan gambar pertemuan itu diambil sebelum PKP dilaksanakan.

Tegas kenyataan itu, tulisan dan dakwaan yang dibuat kedua-dua portal tersebut adalah tidak benar sama sekali. 

“Gambar kunjungan itu adalah pada 12 Januari iaitu sehari sebelum pelaksanaan PKP.

“Oleh itu, Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I memohon agar portal terbabit menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidak benar yang disiarkan dengan segera,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu menegaskan, dakwaan seumpama itu memberikan persepsi buruk terhadap Dr Noor Azmi dan Kementerian Kesihatan.

Hari ini, sebuah portal memuat naik artikel bertajuk ‘Timbalan Menteri Kesihatan langgar PKP lagi?’ manakala sebuah lagi portal dengan tajuk ‘Timbalan Menteri Kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar SOP’.

Satu daripada portal itu, Malaysiakini sebelum ini melaporkan timbalan menteri itu telah memuat naik gambar yang menunjukkan dia menerima sekumpulan pengunjung di pejabatnya di Putrajaya dan disyaki melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).

Gambar-gambar itu dimuat naik sekitar pukul 1 tengah hari ini tetapi gambar-gambar tersebut telah dikeluarkan dari laman Facebooknya pada sekitar pukul 9 malam.

Petikan gambar bertulis: “Kementerian Kesihatan Malaysia. Kunjung hormat sahabat parlimen ke Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1.”

Bagaimanapun, hantaran gambar yang dipadam itu tidak menyatakan bila pertemuan berkenaan berlangsung.

Satu gambar menunjukkan sekurang-kurangnya 14 orang di pejabatnya dengan kesemuanya memakai pelitup muka.

Untuk rekod, Putrajaya serta dua Wilayah Persekutuan lain, Kuala Lumpur dan Labuan, serta lima negeri berada di bawah PKP.

Lima negeri itu ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah.

Menurut SOP, mesyuarat secara bersemuka di pejabat agensi kerajaan dan swasta dilarang.

Majlis rasmi dan bukan rasmi juga tidak dibenarkan untuk agensi kerajaan dan swasta.

Antara perkara lain yang dilarang buat sementara waktu termasuklah kursus, latihan, konvensyen dan semua aktiviti yang berkaitan dengan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

Pada April tahun lalu, Noor Azmi dan exco Perak, Razman Zakaria, dikenakan hukuman denda RM1,000 kerana ingkar PKP di Perak.

Hal itu selepas dia menyiarkan sejumlah gambar dalam talian mengenai dia dan rombongannya yang mengunjungi sebuah sekolah agama di Lenggong. 

Mereka dilihat makan bersama kira-kira 18 orang lain tanpa mengamalkan langkah penjarakan sosial.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan