36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Jangan sampai UMNO dicap tamak haloba, penuh hasad dengki!

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh MOHAMAD ASRI


Sambutan tahun baharu 2021 berjalan dalam keadaan luar biasa. Memang sungguh luar biasa apabila sambutan diadakan tanpa perhimpunan di Dataran Merdeka, tanpa percikan bunga api di KLCC dan kiraan detik 12 tengah malam di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Sungguh tenang menyambut tahun baharu dalam suasana sebegini tanpa kesesakan jalan raya, tanpa bunyi bising hon kenderaan dan tanpa bunyi bingit letupan mercun dan bunga api.

Walau bagaimanapun ketenangan tersebut tidak sama dengan suasana politik negara awal tahun. Sejak fajar 1 Januari menyingsing sehingga saat berita ini ditulis, kemelut politik negara berterusan.

Pandemik Covid-19 yang banyak merubah kehidupan manusia dan masih mengganas di setiap ruang dan sudut kehidupan ternyata tidak sedikitpun menakutkan ahli-ahli politik apatah lagi menyejukkan suhu politik negara.

Seperti dijangka bukan PKR atau DAP, tetapi UMNO menjadi watak utama dalam kemelut ini. UMNO ialah sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang .

UMNO menjadikan mesyuarat bahagian dan sayap parti itu pada 1 Januari lalu sebagai medan melancarkan serangan berterusan ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hampir semua pemimpin yang merasmikan mesyuarat bahagian itu memberi mesej yang sama – UMNO tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Terbaharu Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa menyeru semua Ahli Parlimen UMNO meninggalkan kerajaan Kerajaan PN bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan. Beliau juga meminta semua menteri dan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari ini.

Walaupun Zahid menafikan perkara itu, berita itu sudah tersebar luas. Hampir semua orang UMNO percaya berita ini benar. Malah sebahagian menteri-menteri UMNO sudah memberi komen masing-masing. Ini bukan kali pertama kenyataan sedemikian keluar daripada mulut Presiden UMNO atau beberapa pemimpin yang rapat dengan beliau.

Apa sebenarnya yang berlaku sehingga UMNO kelihatan begitu terdesak mahu pilihan raya umum diadakan dalam suasana negara masih dibelenggu dengan angka kes pandemik Covid-19 yang tidak turun-turun.

Negara masih lagi berada dalam era pandemik yang memberi kesan cukup besar kepada kehidupan rakyat khususnya golongan yang tidak bernasib baik. Angka jangkitan Covid-19 melonjak setiap hari dan tidak ada lagi zon hijau di negara ini.

Ketika rakyat bertungkus lumus mencari sesuap nasi dan membina semula kehidupan, kerajaan juga berbuat apa sahaja untuk membantu memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat jelata.

Bagaimanapun UMNO tetap mahu pilihan raya umum diadakan dalam waktu terdekat ketika angka jangkitan melonjak dan terus melonjak. Keterdesakan mahu pilihan raya umum diadakan secepat mungkin menyaksikan UMNO ‘mencampak’ segala ikrar dan janji yang dibuat selama ini.

UMNO pernah berjanji akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sedikit masa dahulu agar dihentikan sementara segala politiking demi memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-191 dan memulihkan ekonomi.

UMNO juga membuang segala ikrar ‘gencatan politik’ yang pernah dilafazkan sebelum ini. Gencatan politik itu kononnya bagi mendukung kerajaan PN meneruskan agenda menangani pandemik, membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan memulihkan ekonomi . Sekarang ke mana hilangnya ikrar tersebut?

Ada juga cakap-cakap yang mengatakan UMNO mahu menarik balik sokongan ke atas kerajaan PN kerana tidak tahan dengan sikap Bersatu yang tidak habis-habis membuli UMNO dan berlaku ‘tidak adil’ ke atas parti yang mempunyai 38 kerusi Parlimen – paling banyak dalam kalangan parti PN.

Benarkah begitu atau ini ada kena mengena dengan beberapa pemimpinnya yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah?

Tidak dapat dipastikan apakah makna ‘adil’ yang dimaksudkan oleh UMNO kerana sejumlah 14 pemimpin UMNO dilantik menjadi menteri dan timblan menteri dengan seorang Naib Presiden UMNO diangkat menjadi Menteri Kanan.

Berpuluh-puluh lagi ahli UMNO turut mengetuai syarikat milik kerajaan (GLC) serta agensi-agensi kerajaan lain termasuk beberapa pemimpin UMNO yang kalah teruk dalam pilihan raya umum lepas.

Malah pembentukan kerajaan PN membolehkan UMNO yang kehilangan kuasa di beberapa buah negeri membentuk kerajaan negeri semula di Johor, Perak, Melaka, Kedah dan Sabah.

Tahun 2020 juga menjadi tahun ‘bertuah’ bagi UMNO kerana setelah 22 bulan merasai seksa sebagai pembangkang, parti itu kembali ke dalam kerajaan pada Februari dengan kerjasama beberapa parti dalam PN.

Bagaimanapun segala yang telah diperoleh UMNO masih belum mencukupi dan gagal memuaskan hati segelintir pemimpinnya sehingga mereka tidak habis-habis merancang pelbagai percaturan dan gerakan politik bagi mengganggu-gugat kestabilan politik dan ekonomi negara.

Malah pada satu peringkat UMNO tergamak melanggar prinsip kental mereka ‘No Anwar, No DAP’. Pendedahan dan dakwaan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Annuar Musa berhubung sokongan hitam- putih kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perundingan dengan DAP bagi membentuk Jajaran Baharu Politik jika benar adalah sesuatu yang malang dan menyedihkan.

Semua ini berlaku barangkali kerana UMNO merasa terlalu yakin dapat kembali ke tampuk kekuasaan sekiranya PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat. Malah pada satu peringkat UMNO sudah kelihatan tidak memerlukan bantuan parti-parti lain lagi.

Tidak semudah itu. Jika UMNO tewas dan gagal berkuasa semula, parti itu tidak mustahil akan dicap sebagai sebuah parti Melayu yang kucar-kacir, didasari perasaan hasad dengki dan tamak haloba. Mahukah UMNO dipandang sedemikian?

  • Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan