31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sultan Ibrahim murka, sampah kotorkan Mersing

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Baginda bertitah, Mersing yang merupakan sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah ia kaya dengan keindahan alam semulajadi.

Sultan Ibrahim kecewa dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap. Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM

Tegas baginda, jika tabiat ini berterusan, ia akan memberi kesan negatif kepada aspek kesihatan awam.

“Saya amat sedih dengan apa yang saya lihat di beberapa kawasan yang ditinjau. Apa nak jadi dengan Mersing? Sepatutnya tempat pelancongan tetapi apabila pelancong sampai, disambut sampah. 

“Tidak malukah kita jika menjemput orang ke rumah sendiri tetapi keadaannya tidak sedap mata memandang?

“Ubahlah perangai dan buang sikap pengotor,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Titah Baginda, Mersing perlu mencontohi daerah Muar apabila Bandar Maharani telah dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN pada tahun 2018.

“Mersing mempunyai potensi yang besar untuk terus dimajukan dalam sektor eko-pelancongan, dan ia juga pintu utama untuk ke pulau-pulau pelancongan sekitar. 

“Saya ada pelbagai idea untuk menarik pelaburan dan kemajuan untuk sektor di Mersing, tetapi rakyat juga perlu mainkan peranan menjaga kebersihan di sini. Tidak ada orang yang nak berkunjung ke tempat yang kotor,” titah Baginda.

Baginda Tuanku Sultan turut bertitah mahu pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan kompaun secara efektif supaya rakyat lebih berdisiplin.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan