24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Roboh kuil isu undang-undang, bukan perkauman, agama, diskriminasi – MB

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan isu perobohan struktur atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah baru-baru ini ialah isu undang-undang, bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi. 

Beliau pada masa membidas kekecohan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan pada masa ini berhubung isu berkenaan. 

Menurutnya, tataletak setiap binaan struktur di semua tempat lambat laun patut berada pada tempatnya secara sah dan terkawal mengikut garis undang-undang dan pentadbiran yang diletakkan dibawah agensi  kerajaan.

Katanya, langkah itu harus bermula sejak dulu lagi, bukan sekarang walaupun masih belum terlambat untuk melakukannya. 

“Sedikit kekecohan yang diapi-apikan oleh pihak berkepentingan pada waktu ini adalah risiko yang terpaksa dihadapi untuk membina masa depan yang lebih tenteram dan harmoni. 

“Jangan sampai kita  bergaduh pada masa depan hanya kerana ‘mabuk todi populariti’, mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang,” tulis beliau dalam catatan Facebook malam tadi.

Muhammad Sanusi memberitahu, ada beberapa serangan politik kepada Kerajaan Negeri Kedah berkaitan isu kuil yang diputar belit dari sudut fakta sejarah kewujudannya hingga ada dakwaan ia dihina 30 tahun dan ada juga mendakwa 50 tahun.

Namun tegasnya, pihak berkuasa mempunyai rekod sebenar tentang fakta bangunan itu yang hanya muncul beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, daripada asalnya sebuah berhala yang diletakkan diperdu sebatang pokok.

“Sebelum ini mereka jugalah yang mengelak untuk mengakui bahawa satu tapak yang lebih besar, luas dan selesa telah diberikan untuk menggantikan tapak sebuah kuil yang terbabit dengan pelebaran rel keretapi di Alor Setar. 

“Selepas diberi tapak baru, kuil pun didirikan, mereka kembali pula mendirikan kuil  di tapak asal. Notis mengosongkan tapak itu telah dikeluarkan beberapa kali sebelum tindakan diambil oleh MBAS,” katanya.

Selasa lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Kuil yang dipercayai berusia lebih 50 tahun itu dirobohkan selepas tapak yang dimiliki kerajaan negeri mahu dibangunkan.

Muhammad Sanusi menjelaskan, isu itu juga diputar belitkan untuk membina persepsi bahawa Pas adalah pelampau agama yang mendiskriminasi agama lain, kononnya kuil itu berusia lebih 100 tahun, padahal hanya dibina beberapa tahun lalu sahaja.

Beliau membangkitkan persoalan, untuk satu tapak kuil yang berada di atas tanah KTM yang terbabit dengan pembangunan untuk orang ramai, berapakah tapak baru patut diberikan sebagai ganti?

Advertisements

“Tiada siapa di kalangan pemimpin politik kaum India dari MIC atau DAP berani mendedahkan fakta ini. Sebaliknya semua mereka mengapi-apikan sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh. Jaguh kaum, jaguh agama atau jaguh putar belit?

“Ada juga tokoh besar mereka mengaitkan kuil di tanah kawasan lapang yang dibina secara haram itu dengan kilang plastik tidak berlesen di zon industri Sungai  Petani. Kenapa tak robohkan kilang plastik di Sungai Petani? Tanya Mr Vicky dalam kenyataannya,” katanya.

Muhammad Sanusi menjelaskan, satu kes operasi kilang tanpa lesen satu kes lagi tentang binaan yang tidak sah di atas tanah kawasan lapang taman perumahan. 

Ujarnya, sebanyak tujuh buah kilang plastik di Sungai Petani itu telah akur untuk dipindahkan ke kawasan perindustrian Bukit Selambau dan akan diberikan lesen di tapak baru kelak. 

“Prosesnya sedang berjalan dengan lancar dibawah kendalian Exco Pelaburan dan Industri dan pihak MPSPk. Sesuaikah kedua kes itu untuk dibuat perbandingan? Epal wajar dibandingkan dengan epal juga. 

“Saya telah katakan dengan jelas dan terang, para pemimpin politik di negara kita harus bertindak sebagai pendamai, penjaga keharmonian dan tataatur selari dengan undang-undang dan peraturan. Set undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa ini adalah untuk memelihara serta melindungi kehidupan rakyat seluruhnya, bukan untuk mendiskriminasi sesiapa. 


“Jika ada sesiapa dari kalangan pemimpin politik, kaum dan agama cuba mengapi-apikan permusuhan, menghalang undang-undang ditegakkan, menuduh dan memfitnah di luar kebenaran, memutar belit isu undang-undang dengan mengheret kepada isu kaum dan agama, mereka tidak patut dibiarkan berwewenang,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, Perlembagaan parti-parti politik yang diluluskan tidak mengandungi kebenaran kepada kegiatan-kegiatan seumpama itu. 

Adapun katanya, kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia adalah suara untuk menjunjung kebenaran, keadilan, bukan bebas bersuara tentang kepalsuan, putar belit, fitnah dan adu domba. Hal ini sangat mudah difahami, tetapi sengaja dikesampingkan hanya untuk menjadi jaguh.

“Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) tidak hanya dikuatkuasakan kepada kuil hindu, tokong atau rumah ibadat. Ia berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan dan hadangan yang tidak diluluskan. 

“Di Taman Bersatu itu, bukan kuil itu sahaja dirobohkan, sebuah gelanggang silat juga telah dirobohkan dibawah Akta yang sama. Di lokasi lain di Alor Setar juga, ada gerai, parkir kereta, setor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan. 

“Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara tentang gelanggang silat di pinggir kuil itu? Senior politician seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol.

“Rule of law – the mechanism, process, institution, practice, or norm that supports the equality of all citizens before the law, secures a nonarbitrary form of government, and more generally prevents the arbitrary use of power.


“Prof Ramasamy pakai rule of APA?,”  katanya.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan