25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Manfaat panggilan video ganti amalan ziarah musim perayaan -Dr Noor Hisham

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan panggilan video sebagai ganti kepada amalan ziarah-menziarahi semasa musim perayaan khasnya sambutan Hari Krismas, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan amalan baharu itu, masyarakat dapat sama-sama melindungi warga tua dan kumpulan-kumpulan rentan daripada dijangkiti Covid-19.

“Berikutan situasi peningkatan kes Covid-19 dalam negara yang telah mencapai jumlah kumulatif sebanyak 100,318 kes, masyarakat dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan berhati-hati dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19. 

“Semoga kelainan yang dialami pada sambutan perayaan kali ini menjadi sebuah memori untuk dikenang di masa hadapan. Kita mesti menang!,” tulisnya di Facebook malam tadi.

Dr Noor Hisham dalam pada itu turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengurangkan risiko jangkitan di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan dengan mengamalkan norma baharu seperti elakkan sembang dari jarak dekat dan menggunakan pelitup muka. 

Ujarnya, rakyat juga perlu mengelakkan diri daripada berkumpul dalam jangka masa yang lama kerana ianya akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

“Selain itu, hendaklah sentiasa amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dan juga menjaga kebersihan persekitaran,” katanya.

Sementara itu,  Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada warga Malaysia yang akan menyambut perayaan berkenaan.

“Pada tahun ini, kita akan meraikan sambutan Hari Natal dengan norma baharu berbanding tahun-tahun yang lalu. 

“Sehubungan itu, KKM ingin mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan,” tambahnya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan