26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Maaf, di kampung teman, internet ‘haup’!

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


“MAAF, teman tak dapat baca FB miker kerana di kampung teman internetnya haup!”

Demikianlah jawapan mesej yang dihantar seorang sahabat saya di Kampung Gajah, Perak yang tidak berpuas hati dengan capaian internet dan liputan telekomunikasi di rumah beliau.

Dalam konteks ayat orang Perak, perkataan HAUP memberikan beberapa makna. Antaranya bermaksud mati, meninggal atau bermakna ‘paling teruk’. Maka dalam konteks ayat berkaitan internet pula ialah capaian internet yang sangat teruk.

Wifi atas pokok terpaksa dilakukan di Kampung Gajah, Perak.

Isu capaian internet di Malaysia bukanlah satu perkara baru. Cuma wabak Covid-19 ini sahaja telah membongkar masalah sebenar kemudahan internet kita apabila komunikasi manusia terbatas dan sangat bergantung kepada dunia online dan dunia maya (virtual life).

Veveonah Mosibin, pelajar Universiti Malaysia Sabah bolehlah dianggap sebagai heroin hebat Malaysia kerana keberaniannya mendedahkan kelemahan capaian internet di kampungnya iaitu di Pitas, Sabah telah menjadi satu ‘wake-up call’ kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa itulah realitinya internet di Malaysia, bukan hanya di Sabah tetapi hampir seluruh negara.

Pada peringkat awal pembangunan internet dan siber di Malaysia ketika era kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr.Mahathir Mohamad, permulaan pembangunannya boleh dianggap hebat tetapi kesinambungan pembangunan teknologi capaian internet dan tahap liputan telekomunikasi di Malaysia sangat perlahan selepas Dr. Mahathir hingga kini.

Penulis (kanan) menghadapai cabaran untuk membantu pemasaran produk IKS Perak Tengah kerana capaian internet yang lemah di Kampung Gajah, Perak.

Kita mungkin lebih awal membangunkan kemudahan teknologi internet dan siber berbanding Vietnam, Laos dan Myanmar tetapi tahukah kita, pada hari ini kadar kelajuan dan liputan internet mereka jauh meninggalkan kita di belakang.

Berdasarkan laporan Buletin bulanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi bulan Ogos 2020, Malaysia berada di tangga keenam dari segi capaian internet di kalangan negara Asean. Kelajuan internet di Malaysia hanyalah 24.44 mbps yang meletakkan kita di tangga ke 85 di peringkat global.

Maka tidak hairanlah, Perak sendiri antara negeri yang hampir sama dengan Sabah atau mana-mana negeri lain terutama di kawasan luar bandar dari segi capaian internet.

Penulis yang banyak terlibat secara langsung dengan pembangunan usahawan di Perak Tengah dan latihan kemahiran TVET dapat merasakan tekanan yang dihadapi untuk memasarkan produk IKS dan pembelajaran TVET melalui pendekatan online ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Pernah baru-baru ini, kakitangan saya terpaksa menyediakan tangga untuk meletakkan wifi di kawasan lapang di kompleks warisan kami di Kampung Gajah bagi mendapatkan liputan internet.

Ketika itu, saya sedang mengadakan temubual secara langsung dengan sebuah stesen TV tempatan. Kualiti video amat buruk dan gelap yang agak memalukan saya dan kampung saya sendiri.

Usahawa dodol, Normi Ramli terpaksa berjemur di tengah panas
untuk mendapat liputan internet.

Kali kedua pula apabila Normi Ramli, usahawan dodol yang kami bimbing terpaksa berjemur di tengah panas untuk mendapatkan liputan internet ketika ditemubual secara langsung oleh stesen TV bagi mempromosikan produk mereka.

Keresahan inilah juga yang disampaikan seorang rektor di sebuah universiti di Perak yang mengatakan bahawa beliau bimbang masa depan pelajarnya kerana isu internet dan kemampuan membeli data telekomunikasi di kalangan pelajarnya.

Setiap kali membicarakan masalah capaian dan liputan internet di Malaysia, anak-anak saya yang agak terdedah dengan pengembaraan di luar negara selalu terkenang pengalaman mengembara dengan kenderaan darat di Thailand dan Vietnam sekitar empat tahun lalu.

Walaupun terpaksa meredah kawasan kampung atau ulu ceruk tetapi liputan dan capaian internetnya tetap hebat.

Antara kegemaran anak-anak saya ialah berkongsi cerita, mesej, gambar dan video setiap kali sampai di lokasi-lokasi menarik secara serta-merta kepada kenalan dan ahli media sosial mereka. Pastinya mereka mengkagumi akses internet di negara-negara berkenaan.

Covid-19 telah mengajar kita untuk tidak meremehkan soal capaian internet dan liputan komunikasi. Dua sektor penting iaitu ekonomi dan pendidikan masa kini sangat bergantung kepada dua keadaan internet dan komunikasi kita. Kelemahannya akan menjadi pengukur tahap kemajuan dan pencapaian kita.

Kerajaan khususnya pemimpin politik, janganlah kelihatan hebat, garang dan gah di parlimen sahaja tetapi kawasan sendiripun internetnya HAUP! Jangan sampai orang kampung dan pengundi kalian menyumpah dengan perkataan HAUP kerana kesannya nanti ialah kedudukan politik kalian juga akan HAUP!

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan