36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Apakah UMNO akan ‘untung secupak, rugi segantang’?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


UMNO tidak boleh marah apabila dituduh menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan kerjasama DAP. Tuduhan atau persepsi itu wujud berdasarkan keputusan undi percaya yang dibawa oleh UMNO dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu.

Ahmad Faizal atau Peja terpaksa berundur selepas gagal mendapat sokongan majoriti ADUN selepas pengundian berakhir dengan 48 tidak bersetuju manakala 10 bersetuju. Peja tidak akan tersingkir jika kesemua ADUN UMNO bersetuju dengan usul tersebut.

Malangnya usul itu memang dianggap bertujuan menyingkirkan ADUN Chendering itu berdasarkan hujah beberapa pemimpin UMNO kenapa Timbalan Presiden Bersatu itu terpaksa berhadapan dengan undi berkenaan dan kesempatan ini diambil oleh Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah untuk ‘bersama’ dengan UMNO.

UMNO boleh memberikan apa juga alasan untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka menumbangkan Peja, tetapi jika tidak berhati-hati, parti itu boleh berada dalam keadaan ‘untung secupak, rugi segantang’.

PH kini sedang mengatur strategi termasuk bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti (mungkin termasuk juga UMNO) bagi menubuhkan Kerajaan baharu di Perak memandangkan Pas sudah menyatakan tidak mahu terlibat manakala pendirian Bersatu masih belum pasti.

Penulis tidak pasti siapakah perancang di sebalik gerakan politik yang tidak bijak ini. Kalaulah ia sekadar untuk menunjukkan betapa berkuasanya UMNO dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk di peringkat pusat, ia adalah strategi politik yang dianggap ‘senjata makan tuan’.

UMNO memerlukan minimum sokongan 30 ADUN untuk membolehkan ADUN daripada parti itu menjadi Menteri Besar, soalnya adakah parti tersebut akan mendapat sokongan tersebut? UMNO hanya ada 25 kerusi sahaja, itupun ketika pengundian undi percaya salah seorang ADUNnya dikatakan menyokong usul tersebut.

Ia bermakna UMNO memerlukan sokongan ADUN Pas dan Bersatu bagi mencapai cita-cita tersebut, jika kedua-dua parti itu tidak mahu menyokong, apa yang boleh UMNO lakukan? Apakah UMNO bersedia untuk ‘menyembah’ PH semata-mata hanya mahu menjadi Menteri Besar?

Ramai yang berharap itu tidak akan berlaku walaupun ada pemimpin UMNO mencadangkan UMNO bekerjasama dengan PKR dan Amanah tanpa DAP untuk memerintah Perak.

Ketika inipun UMNO sudah tidak mampu menepis apabila dituduh bersekongkol dengan DAP menjatuhkan Ahmad Faizal, inikan pula mahu mewujudkan kerajaan dengan PKR dan Amanah.

Perlu diingat UMNO berpegang kepada prinsip ‘No Anwar, No DAP’, kalau dasar ini diambil kira maka UMNO tidak boleh bekerjasama dengan PKR mahupun Amanah.

PKR dipimpin oleh siapa? Bukankah Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tak kan UMNO mahu ‘mempersembahkan lawak antarabangsa’ dengan berhujah apa yang berlaku di Perak adalah isu setempat, tiada kaitan dengan UMNO di peringkat pusat bagi membolehkan ‘kerjasama songsang’ itu diwujudkan?

UMNO tidak ada pilihan sama ada memujuk Pas dan Bersatu untuk menyokong calon mereka menjadi Menteri Besar dan mengekalkan kerajaan PN di negeri itu bukannya membuka laluan untuk PH kembali berkuasa dengan DAP pasti memainkan peranan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana memiliki kerusi paling banyak dalam kalangan pembangkang.

Kalau itu berlaku, ‘tahniah’ diucapkan kepada UMNO kerana bukan sahaja berjaya menjatuhkan Menteri Besar yang mereka sokong pada awalnya tetapi juga mengembalikan tampuk pemerintahan di Perak kepada PH.

Dan kalaulah seorang pemimpin UMNO secara sinis menganggap Bersatu mencipta rekod lagi apabila Ahmad Faizal menjadi Menteri Besar pertama dalam sejarah gagal dalam undi percaya, UMNO pula boleh dianggap mencatatkan rekod kerana tidak bersetuju dengan usul yang meraka sendiri kemukakan.

Kini beban terletak di bahu UMNO. Mereka harus mengakui bahawa langkah politik di Perak sebenarnya lebih banyak merugikan parti itu kerana ia bukan sahaja meletakkan hubungan parti itu dengan Bersatu semakin tegang malah tidak pasal-pasal ‘bermasam muka’ dengan Pas – sekutu karib mereka dalam Muafakat Nasional.

Ia memandangkan ‘Langkah 4 Disember’ itu tidak dibincangkan terlebih dahulu dengan Pas seperti mana dinyatakan oleh seorang pemimpin kanan parti tersebut, semalam.

Oleh itu apabila Pas membuat keputusan tidak akan turut serta dalam Kerajaan baharu di Perak, UMNO tidak boleh menganggap Pas mengkhianati mereka kerana istilah ‘pengkhianatan’ kini boleh dianggap terpulang kepada tafsiran masing-masing.

UMNO pun boleh dianggap khianat apabila menjatuhkan Ahmad Faizal kerana beliau adalah Timbalan Presiden Bersatu – parti yang UMNO bekerjasama dalam Perikatan Nasional. Kalau selama ini UMNO menganggap Bersatu perlu ada kejujuran politik, di mana pula kejujuran politik UMNO?

Penulis percaya berdasarkan reaksi, majoriti pemimpin dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di Perak tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana di dalam parti itu ada kelompok yang buatlah apapun mereka tetap akan menolak kerjasama dengan Bersatu.

Mungkin kelompok tersebut menganggap ia sebagai mesej kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ‘jangan main-main’ dengan UMNO tetapi hakikatnya kesan dijangka lebih banyak merugikan parti itu. Ia memandangkan sampai ke bila pun, persepsi UMNO mendapat sokongan DAP menjatuhkan Ahmad Faizal akan terus dimainkan.

Oleh itu, kepemimpinan UMNO perlu memperbetulkan kembali situasi ini dengan memastikan Perak ‘tidak jatuh’ ke tangan Pakatan Harapan dan sama sekali tidak boleh mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti dalam pakatan tersebut, jika itu terjadi ia ibarat UMNO mengundang petaka politik kepada parti tersebut bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia Negeri Johor menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru awal pagi ini dan...

Lagi Artikel Berkaitan