33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Jujurkah perjuangan Najib untuk rakyat dalam isu KWSP?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Analisis

Oleh: MOHAMAD SYUKRI MAT AROP

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang dilihat mengambil kesempatan ke atas isu pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan melakukan provokasi bukan sahaja terhadap KWSP malah kerajaan.

Sebagai seorang yang pernah menjadi Menteri Kewangan,Najib sudah tentu memahami bagaimana tekanan dialami kerajaan seperti mana beliau lalui ketika melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun 2015 dan bagaimana isu cukai itu menjadi antara punca kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

GST ketika dilaksanakan pada 1 April 2015 mendapat tentangan yang hebat dalam kalangan pemimpin pembangkang dan rakyat apabila ia disifatkan sebagai menindas golongan miskin dan luar bandar kerana dibebani kos perbelanjaan harian yang besar.

Tetapi soalnya kenapa Najib terlalu ghairah dalam isu KWSP sehingga ada pihak mempersoalkan adakah beliau berniat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Adakah Najib melakukan provokasi yang sama dengan beranggapan rakyat semakin marah dengan kenyataan oleh KWSP semalam? Jujurkah perjuangan untuk rakyat dalam isu itu?

Bagaimanapun perlu diingatkan, ketika kerajaan pimpinan beliau melaksanakan GST, ia merupakan dasar kerajaan pada waktu itu berhubung pembayaran cukai. Tetapi keputusan pengeluaran Akaun 1 KWSP bukanlah keputusan yang berkaitan dasar kerajaan.

Ia adalah keputusan sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi menyediakan faedah persaraan kepada ahli-ahlinya apabila mereka bersara kelak.

Situasinya adalah berbeza di antara tentangan rakyat pada waktu itu berhubung GST dengan situasi pengeluaran wang simpanan Akaun 1 KWSP. Betul, wang simpanan KWSP itu bukan hak milik kerajaan yang boleh dibenarkan untuk pengeluaran secara sewenang-wenangnya.

Ia adalah milik rakyat di bawah pengawasan dan seliaan KWSP yang bertanggungjawab membuat pertimbangan sewajarnya untuk membenarkan ahlinya mengeluarkan wang simpanan dalam keadaan luar biasa seperti menghadapi pandemik COVID-19.

Najib juga tidak boleh lupa tindakannya pada tahun 2015 ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewanganmenggunakan dana KWSP untuk dilaburkan ke atas Syarikat 1MDB.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pandan pada waktu itu, Rafizi Ramli, Kementerian Kewangan memaklumkan KWSP telah melaburkan RM1.52 bilion ke dalam 1MDB dan anak syarikatnya sehingga 31 Mac tahun 2015. Kenyataan itu juga menyebut KWSP telah melaburkan sejumlah RM1.52 bilion ke atas anak syarikat 1MDB Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan JEV.

Jadi, adilkah untuk Najib sekarang mempersoalkan tentang dana KWSP? Wajarkah beliau pada waktu itu menggunakan wang simpanan rakyat untuk dilaburkan di dalam 1MDB yang merupakan skandal dana pelaburan terbesar di dunia?

  • Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Terkini

Agong murka isu stoking tertera kalimah Allah

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di...

Lagi Artikel Berkaitan