27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ini bukan kali pertama, Pas tak perlu terkapai-kapai – Hadi

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – ‘’Ini bukan kali pertama, oleh sebab itu kita perlu tunggu berita sebenar’’.

Demikian reaksi Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan terdapat akuan bersumpah 113 ahli Parlimen menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Abdul Hadi berkata, Pas tidak perlu terkapai-kapai membuat keputusan
sebaliknya perlu menunggu hakikat sebenar apakah yang sedang berlaku.

“Sudah beberapa kali (ia berlaku) dan kita sedang tunggu (kebenaran itu). Jadi kita tidak perlu terkapai-kapai untuk buat sebarang keputusan sebelum hakikat sebenar,” katanya ketika sesi Dialog Bersama Media di sini, hari ini seperti dilaporkan oleh Astro Awani.

Hari ini Astro Awani melaporkan satu sumber yang rapat dengan percaturan itu mendakwa Anwar dari PKR yang mewakli Pakatan Harapan (PH) bersama-sama DAP dan Amanah mendapat ‘nafas baharu’ apabila disokong oleh 10 Ahli Parlimen UMNO termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut sumber tersebut, sokongan diperolehi daripada 10 MP ahli Parlimen berkenaan adalah dalam bentuk akuan bersumpah yang akan dipersembahkan kepada Yang d-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Astro Awani turut melaporkan penafian oleh sumber dalamam PH yang menyifatkan ia sebagai palsu.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Abdul Hadi berkata, parti itu tidak gentar menghadapinya walaupun menyertai kerajaan bukan melalui mandat rakyat dalam PRU lalu.

Katanya, apa yang penting adalah wakil-wakil rakyat yang diberi mandat menjalankan amanah masing-masing.

“Walaupun kita mengambil kerajaan melalui wakil-wakil rakyat, dan bukan undian rakyat secara langsung, (namun) kita menentukan (Kabinet) melalui wakil-wakil rakyat yang diundi oleh rakyat.

“Apa yang penting adalah wakil rakyat ini menjalankan tugas di kawasan masing-masing dan itu yang perlu kita gerakkan. Dengan sebab itu kita tidak gentar untuk menghadapi PRU15 kerana mengerakkan wakil-wakil rakyat kita yang dipilih rakyat walaupun dia sudah pindah parti,” katanya.

Abdul Hadi yang Ahli Parlimen Marang berkata, beliau sentiasa memantau tugas yang dimainkan oleh pemimpin parti itu dalam Kabinet kerajaan.

Beliau berkata, Pas telah terlibat secara langsung dalam mengerakkan pentadbiran kerajaan secara kolektif.

“Walaupun dalam masa yang singkat kita memegang jawatan, kita membuat pemantauan dari masa ke masa di setiap kementerian dan menerima aduan daripada semua pihak yang mengadu tentang Kabinet yang kita pegang.

“Sebaik sahaja kita mendapat maklumat, kita bertindak dengan sebab itu kita mengatasi segala masalah yang dihadapi,” ujarnya.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan