24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bersediakah UMNO dituduh pengkhianat perpaduan Melayu?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMAD ASRI

KELMARIN merupakan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang. Pada hari tersebut sepatutnya Belanjawan Negeri dibentangkan.

Belanjawan ini antara lain akan memberi perhatian kepada usaha membantu memulihkan kehidupan rakyat, ekonomi negeri dan memerangi pandemik Covid-19.

Malangnya, belanjawan tersebut tidak dapat dibentangkan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, UMNO dan Pas dijatuhkan oleh UMNO sendiri.

UMNO yang ‘bekerjasama’ dengan DAP, PKR dan Amanah tidak menyokong Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu undi percaya (yang sebenarnya undi tidak percaya) ketika sidang bermula. Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi menyokong manakala 48 lagi tidak menyokong.

Sudah terang lagi bersuluh, tindakan tersebut menunjukkan kegelojohan UMNO yang tidak sabar-sabar untuk menuntut kembali jawatan Menteri Besar sehingga mengkhianati rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

Sukar untuk menerima alasan bahawa UMNO berbuat demikian hanya kerana mahu menyingkirkan Mohd Faizal dan bukan untuk menjatuhkan kerajaan PN!

Demi jawatan UMNO sanggup bersama-sama DAP, PKR dan Amanah dan menutup mata dan melanggar prinsip ‘No Anwar, No DAP’ yang UMNO sendiri canang selama ini.

Kenyataan terbuka dua pemimpin DAP dan PKR Perak yang sedia bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu mengukuhkan lagi dakwaan bahawa dua-dua parti itu juga sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan UMNO.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyahut seruan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH termasuk DAP berikutan keengganan Bersatu dan Pas menyokong pembentukan kerajaan negeri baharu.

Kenyataan Zahid, UMNO seboleh mungkin' mahu mengekalkan bentuk pentadbiran kerajaan lama tetapi tidak menolak jajaran politik baharu’ juga membawa maksud UMNO juga sudah bersedia bergabung dengan parti-parti dalam PH bagi memastikan jawatan Menteri Besar Perak menjadi milik UMNO.

Advertisements

Kesediaan Zahid membuka pintu kerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah bukan sesuatu yang mengejutkan. Beberapa bulan lalu, beliau secara diam-diam bersama-sama Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa pernah mengutus surat sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

UMNO mengetahui bahawa parti itu tidak memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri seterusnya memilih calon menteri besar baharu. Parti itu juga mahu menyelesaikan seberapa segera kemelut politik di negeri Perak bagi mengelakkan DUN dibubarkan.

Malah dipercayai parti itu sudah bersedia dengan beberapa pelan luar jangka sekiranya jumlah ADUN yang diperlukan masih tidak mencukupi. Pelan kecemasan itu semuanya melibatkan parti-parti dalam PH.

Antaranya membentuk kerajaan bersama PKR dan Amanah sahaja, membentuk kerajaan perpaduan dengan parti yang memiliki majoriti sokongan akan dipilih menjadi menteri besar dan pilihan terakhir membentuk kerajaan dengan DAP. Pilihan terakhir ini kelihatan agak sukar kerana DAP sudah tentu tidak akan meninggalkan PKR dan Amanah.

Berikutan kesediaan, PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan UMNO, semua pilihan tersebut sudah tidak relevan lagi. UMNO sudah boleh mengemukakan nama calon menteri besar yang dijangka mengangkat sumpah selewat-lewatnya Selasa ini.

Perancangan ini bukan kerja sehari dua dan sudah tentunya dibuat dengan teliti termasuk sebelum kejadian dan tindakan susulan selepas itu. Sejurus selepas Faizal disingkirkan pula, Najib pula memberitahu sebab musabab kenapa Faizal disingkirkan. Adakah ini berlaku secara kebetulan?

Tindakan yang disifatkan sebagai menikam dari belakang itu sudah tentu menimbulkan kemarahan seluruh ahli Bersatu dan Pas. Tidak hairanlah Pas terus mengeluarkan kenyataan keras dan padu bahawa mereka tidak akan terlibat dengan pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Adakah UMNO terkesan dengan tindakan tersebut? Kenyataan Pas sebenarnya tidak memberi makna apa- apa lagi kerana jumlah kerusi UMNO, DAP, PKR dan Amanah sudah lebih daripada cukup untuk UMNO menubuhkan kerajaan negeri baharu walaupun sebelum ini difahamkan UMNO hanya memperoleh sokongan daripada 26 ADUN sahaja.

Sekiranya kerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah termeterai, cita-cita UMNO untuk kembali memegang tampuk jawatan menteri besar akan menjadi lebih mudah.

Adakah semudah itu? Bagaimana pula dengan penerimaan ahli-ahli UMNO, orang Melayu dan orang Islam secara keseluruhan? Tidak semudah itu. UMNO perlu bersedia untuk berhadapan dengan tuduhan dan dicap sebagai pengkhianat kepada usaha penyatuan Melayu dan Islam yang telah berjalan elok sebelum ini.

Ketiga-tiga parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu sudah mula melupakan persengketaan lama dan sanggup duduk dalam satu saf perjuangan bagi tujuan itu.
Dalam apa juga keadaan, orang Melayu tidak akan dapat menerima DAP sebagai sekutu baharu UMNO. Pengalaman pahit ditadbir PH selama 22 bulan dulu tidak mudah dilupakan orang Melayu. Bersediakan UMNO untuk berhadapan dengan kecaman dan penolakan orang Melayu sekali lagi?

  • Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan