KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan tiada istilah lulus peringkat dasar, tolak pula peringkat jawatankuasa berhubung rancangan ahli-ahli Parlimen menolak kelulusan Belanjawan 2021.
Beliau pada masa sama meminta semua ahli Parlimen supaya mengasihani dan menghormati rakyat dengan meluluskan bajet berkenaan.
“Keputusan lulus Bajet 2021, titah dan tugas yang bertanggungjawab. Tiada istilah lulus Peringkat Dasar, tolak pula peringkat jawatankuasa.
“Kasihi dan hormati rakyat, kerajaan bertindak untuk semua,” tulis Takiyuddin dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara Khamis lalu selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.
Berikutan kelulusan Belanjawan 2021 itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan terhadap ahli Parlimen kerana memberi sokongan terhadap bajet berkenaan.
Bagaimanapun beberapa parti politik termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli Parlimen kerajaan bahawa Belanjawan 2021 masih boleh ditolak di peringkat jawatankuasa, walaupun lulus di peringkat dasar.
Menurut Anwar, Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan seterusnya sekiranya ia masih tidak memenuhi aspirasi rakyat.
“Masih terlalu awal untuk mereka merayakan berlebihan, walhal yang kita fikirkan ini bukan soal kemenangan politik tetapi kemenangan rakyat dan kebajikan rakyat,” katanya.
Selain itu, Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) masih mempunyai peluang untuk menolak belanjawan dibentangkan pada peringkat jawatankuasa, jika KWSP merumitkan proses pengeluaran Skim i-Sinar.
“Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.
“Namun saya dan BN bersangka baik bahawa KWSP akan permudahkan segala pengeluaran dan tidak akan menyusahkan atau sengaja menafi hak Rakyat untuk mengeluarkan wang mereka sendiri.
“Jika masih rumit atau menyusahkan, BN masih ada peluang untuk menolak bajet pada undian peringkat jawatankuasa, kata Najib. – Edisi 9