28.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 3, 2022

KeTSA tolak permohonan baharu perlombongan di Tasik Chini

Media sebelum ini melaporkan UNESCO mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian WNBR.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan baharu atau penyambungan surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) di tapak perlombongan dalam kawasan Rangkaian Rizab Biosfera Tasik Chini (WNBR).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, KeTSA juga tidak akan menyokong dan mengeluarkan apa-apa Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sekiranya permohonan perlombongan adalah di atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau rizab perlindungan dan kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Menurutnya, pada masa kini tiada operasi perlombongan di dalam kawasan Man and Biosphere (MAB) Tasik Chini.

“Mengikut rekod Jabatan Mineral dan Geosains hanya tiga pajakan melombong (ML) yang masih berkuat kuasa di dalam kawasan MAB Tasik Chini iaitu ML14/2020 (luput pada 16/9/2025), ML15/2020 (luput pada 16/9/2025) dan ML15/2011 (luput pada 21/9/2022),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ujar beliau lagi, kerajaan Pahang juga sudah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja atau pun ‘Stop Work Order’ kepada semua aktiviti perlombongan pada 17 Mei 2021 dan masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini.

“Kerajaan Pahang turut melaksanakan moratorium dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini pada 17 Jun 2021 dan beberapa tindakan pencegahan diambil termasuk pemantauan kualiti air Tasik Chini, penguatkuasaan arahan penyediaan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), pewartaan rizab Hutan Simpan Chini (tambahan) dan memperluaskan Rizab Biosfera UNESCO,” katanya.

Baca juga:   Tanggungjawab pemimpin Pas tak lagi terikat pada penyokong
Baca juga:   Tiada kelulusan perlombongan di Tasik Chini - KeTSA

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Tasik Chini yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Pahang), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

“Dari segi tadbir urus, kerajaan Pahang sudah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang di bawah Enakmen Kerajaan Negeri bagi menguruskan dan menyelaras pelaksanaan pelan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya.

Beliau juga menyatakan KetSA sudah mempergiatkan program penanaman pokok sejak 2015 bagi memulihkan kawasan terosot yang turut membabitkan pihak berkepentingan seperti komuniti Orang Asli.

“Pada tahun ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar kawasan Tasik Chini.

“Ini termasuk dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dengan peruntukan sebanyak RM800,000 di bawah inisiatif bajet Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), Kementerian Kewangan Tahun 2022-Pemerkasaan Komuniti dan Pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Fuziah, Takiyuddin berkata, KetSA sedang menggerakkan usaha penanaman pokok secara besar-besaran dalam masa terdekat bagi tujuan pemulihaan kawasan terbabit.

“Saya yakin dan percaya tindakan diambil ini tidak akan menyebabkan status UNESCO itu ditarik balik. Saya akan gerakkan penanaman pokok secara besar-besaran dan akan membabitkan semua pimpinan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang dalam waktu terdekat untuk memulihkan keadaan sebenar di Tasik Chini,” katanya.

Baca juga:   Tiada kelulusan perlombongan di Tasik Chini - KeTSA

Kelmarin, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.

Baca juga:   Kerajaan tak akan nasihatkan Agong lanjut Darurat

Media sebelum ini melaporkan UNESCO mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian WNBR.

Hasil tinjauan berkala pertama oleh UNESCO baru-baru ini meletakkan Tasik Chini dalam risiko dilucutkan status itu namun badan dunia itu memberi tempoh sehingga 30 September ini untuk Malaysia memaklumkan perancangan merawat dan memulihkan tasik terbabit serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Sepasang suami isteri bawa dadah lebih RM9.5 juta ditahan

SEPASANG suami isteri berusia 26 dan 28 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM9.5 juta di Kampung...

Lagi Artikel Berkaitan