24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kawasan Gunung Inas terdedah ancaman tanah runtuh

Kehadiran taburan batuan di laluan sungai boleh mendatangkan risiko serta membahayakan keselamatan awam.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memaklumkan, siasatan awal mendapati, kawasan persekitaran Gunung Inas, Kupang, dekat Baling, Kedah masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh serta jatuhan batuan.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia berikutan kehadiran bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.

“Di samping itu, perubahan arus deras secara mendadak bila berlaku hujan di kawasan hulu dan kehadiran taburan puing-puing batuan di dalam laluan sungai boleh mendatangkan risiko serta membahayakan keselamatan awam di kawasan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanyakan apakah kaedah penyelesaian yang dirancang oleh kementerian bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin, khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas sewaktu pertanyaan menteri.

Takiyuddin menambah, sebagai langkah awal bagi memastikan keselamatan rakyat, satu surat pemakluman rasmi perihal Langkah Kewaspadaan Awam di Kawasan Tadahan Gunung Inas, Baling, telah dihantar pada 22 Julai lalu kepada kerajaan negeri Kedah.

Advertisements

Menurutnya, surat itu bagi menyarankan agar kerajaan negeri Kedah mengambil perhatian terhadap zon bahaya dan zon kawalan yang dibangunkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“KeTSA melalui JMG turut menasihatkan agar kawasan pergunungan zon sumber aliran puing tersebut juga tidak dibuka kepada awam sehingga keadaan selamat.

“Bagi kaedah penyelesaian secara menyeluruh, kementerian melalui Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 sedang menyediakan laporan bersepadu.

“Laporan tersebut dijangka akan mencadangkan kewujudan kawasan zon terimpak, zon berisiko dan zon selamat,” katanya.

Beliau berkata, laporan ini turut akan menyediakan cadangan dan tindakan susulan mengenai dasar dan pengurusan bencana bagi mengurangkan secara menyeluruh risiko bencana di kawasan tersebut melalui langkah penyelesaian secara berstruktur dan bukan berstruktur. —BERNAMA

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan