KUALA LUMPUR – Risau ramai yang mengadu lapar dan memerlukan bantuan, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew (UEL) hari ini menghantar bantuan 10 tan barang makanan asas ke Sabah.
Kesemua barang makanan asas itu diterbangkan menggunakan sebuah pesawat My Jet Express.

Menurut Ebit Lew, beliau bekerjasama dengan My Jet Express menghantar bekalan keperluan asas ke Sabah untuk diagihkan.
“Sayu malam-malam bila baca tentang sebahagian orang Sabah. Ramai sangat mesej saya. Baca berita rasa sedih.
“Tiga biji lori Elewsmart dari gudang kami malam tadi terus ke Lapangan Terbang Senai. My Jet Express akan berlepas dari Senai ke Kota Kinabalu membawa 10 tan barang makanan asas,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ebit Lew berkata, beliau bersyukur dapat bekerjasama dengan My Jet Express dan terharu layanan baik sangat Pengerusinya, Mohamed Yunos dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azrol Hisham.
“Doakan ya. Risau ramai mengadu lapar yang memerlukan bantuan makanan asas.
“Doakan Sabah ya. Doakan seluruh Malaysia. Doakan seluruh dunia. Jangan ada satu orang pun lapar dan tiada makan minum. Ini ujian untuk kita semua,” tulisnya.