25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

KPDNHEP rampas RM53.6 j barang kawalan bersubsidi

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas barangan kawalan bersubsidi bernilai RM53.6 juta melibatkan 2,212 kes dalam tempoh empat tahun lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, rampasan itu dibuat bahagian penguatkuasa bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berdasarkan statistik dari 2016 hingga Oktober 2020.

“Bagi kes-kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang diterima dari serahan agensi luar pula adalah sebanyak 671 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM10.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyeludupan barang kawalan dipengaruhi oleh faktor harga jualan barang kawalan di Malaysia yang lebih rendah serta bekalan yang mudah diperolehi. Foto KPDNHEP

Iskandar Halim menjelaskan,  isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri dari negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian KPDNHEP.

Menurutnya, penyeludupan itu dipengaruhi oleh faktor harga jualan barang kawalan di Malaysia yang lebih rendah serta bekalan yang mudah diperolehi selain kewujudan jalan tikus di persempadanan yang pendek antara dua negara.

Advertisements

Selain itu katanya, faktor demografi penduduk dan pertalian persaudaraan antara rakyat Malaysia dan rakyat negara jiran juga turut menyukarkan isu penyelewengan ini ditangani secara holistik. 

“Walaupun isu penyelewengan barang kawalan di sempadan bukanlah suatu isu yang mudah ditangani, namun Bahagian Penguat Kuasa tetap meneruskan tindakan pro-aktif dan tegas dalam membendung isu penyelewengan barang kawalan ke negara sempadan melalui penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan memberi impak lebih komprehensif, tindakan pengesyoran pembatalan lesen barang kawalan ke atas pemborong dan peruncit yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi turut dilaksanakan mereka.

Ujarnya, sebanyak 14 buah syarikat pelesen barang kawalan telah dibatalkan lesen barang kawalan sejak tahun 2017 hingga 2019.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan keseriusan Bahagian Penguat Kuasa dalam menangani aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di peringkat akar umbi demi menyelamatkan subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan,” katanya.

Advertisements

Terkini

Peranan, tanggungjawab Maritim Malaysia diiktiraf dunia

PERANAN serta tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diterima dengan baik dan diiktiraf dunia. Ini dibuktikan apabila Maritim...

Lagi Artikel Berkaitan