25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kenapa perlu kecam Annuar Musa?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


SEPERTI diduga kenyataan terus terang Tan Sri Annuar Musa berkaitan beberapa isu melibatkan UMNO dalam wawancara bersama Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan ternyata menyebabkan beberapa pemimpin parti itu tidak senang duduk.

Annuar ‘diserang’ kiri dan kanan apabila menegaskan UMNO perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Perikatan Nasional. Beliau juga dibidas apabila mendedahkan, Pas mungkin tidak akan bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional jika Bersatu ditinggalkan.

Kalau sesiapa yang mengikuti wawancara tersebut sepenuhnya bukan separuh-separuh, mereka akan memahami Annuar bercakap secara terus terang, malah apa yang dikatakan beliau termasuklah gerakan untuk menjalin hubungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bukanlah omong kosong.

Cakap-cakap berhubung perkara itu sudah lama kedengaran dan semakin rancak ketika ‘musim’ pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2021.

Begitu juga dalam soal kerjasama dengan Pas, persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak, adakah Pas akan terus bersama dengan UMNO, jika UMNO terus berkeras tidak mahu menjalinkan lagi kerjasama dengan Bersatu.

Annuar hanya melontarkan pandangan beliau termasuklah soal sikap UMNO yang tidak jelas bila berhadapan dengan sesuatu isu termasuklah dari segi pembentukan Kabinet.

Kenapakah soal kenyataan Annuar berkaitan kerjasama dengan Pas yang diperkatakan? Kenapakah beliau harus diserang apabila mempertahankan kerjasama dengan parti Bersatu? Kenapa pula beliau dianggap angkuh apabila membalas ‘serangan’ yang diterima?

Sedangkan isu lebih besar ialah benarkah ada gerakan dalam UMNO untuk menjalin kerjasama dengan Anwar dan DAP? Kenapa tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang meminta supaya apa yang dikatakan oleh Annuar itu disiasat kerana kalau betul ada gerakan tersebut ia bertentangan dengan dasar besar UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

Annuar dalam wawancara itu menegaskan;

‘’Dasar ‘No Anwar, No DAP’ dasar tertulis, berbincang dalam Biro Politik, ia dibawa ke dalam Jawatankuasa Pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi. Bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali, malah ia dibawa dalam Perhimpunan Agung dan mesyuarat Muafakat Nasional. (Oleh itu) soal ‘No Anwar, No DAP’ adalah dasar besar parti.

‘’Dasar itulah juga yang membolehkan kita membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebab Tan Sri Muhyiddin juga No Anwar, No DAP. Beliau keluar daripada Pakatan Harapan kerana tak tahan dengan DAP dan Mohamed Azmin keluar sebab dia tak nak bersama dengan Anwar.

‘’Jadi dasar ‘No Anwar, No DAP’ dipersetujui oleh Bersatu, Pas, UMNO dan parti-parti dalam Barisan Nasional, maka ia dasar besar, bukan dasar kecil. Maka kalaulah betul ada gerakan-gerakan di belakang yang cuba membelakangkan soal ini, pada saya bukan saya yang meninggalkan dasar parti tetapi mereka yang meninggalkan dasar parti.

”Itu adalah satu kesalahan yang sangat-sangat besar dan mesti dipertanggungjawabkan. Saya tetap konsisten, saya mempertahankan dasar rasmi parti, saya menjunjung asas-asas perjuangan UMNO itu sendiri.’’

Kalau betul ia sudah menjadi dasar besar, kenapakah masih ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang mahu melanggar dasar itu? Apakah kerjasama dengan Anwar dan DAP adalah ‘lebih mulia’ daripada berusaha memperbaiki segala kelemahan dalam kerjasama dengan parti Bersatu?

Atau adakah usaha mahu menjalinkan kerjasama dengan melanggar dasar ‘No Anwar, No DAP’ itu ada agenda tersembunyi? Apakah agenda itu? Macam-macam kita dengar tetapi apa sebenarnya hanya akan terdedah jika siasatan dilakukan.

Begitu juga dalam soal kerjasama dengan Pas. UMNO tidak boleh selesa apatah lagi yakin bahawa Pas akan bersama dalam Muafakat Nasional.

Penulis tidak mempertikaikan komitmen atau akujanji Pas untuk terus bekerjasama dengan UMNO tetapi soalnya dalam UMNO adakah keseluruhan kepemimpinan parti itu termasuk di peringkat bahagian atau negeri benar-benar mahu terus bersama Pas?

Sekarang ini pun sudah timbul sedikit sebanyak perasaan tidak puas hati pemimpin UMNO terhadap Pas, walaupun ia dalam skala kecil namun tidak mustahil ia boleh menjadi parah menjelang pilihan raya umum nanti. Justeru apa persediaan UMNO untuk menghadapi keadaan itu?

Sama ada soal kerjasama dengan Bersatu mahupun Pas ia perlu diselesaikan bukan terus `melalak’ mengecam Annuar yang memberi pandangan beliau secara ikhlas demi kebaikan parti.

Annuar hanya mahu UMNO mempunyai pendirian yang tegas dan hala tuju yang jelas, bukannya teraba-raba bagaikan ‘dengan Bersatu tak mahu, dengan Pas masih belum tentu’.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi perlu ada ‘political will’ bagi menyelesaikan semua isu-isu yang diperkatakan oleh Annuar bukannya membiarkan ia menjadi perdebatan di dalam media apatah lagi yang ‘menghangatkan’ keadaan ialah kelompok pemimpin yang sudah kalah dalam pilihan raya!

Penulis bukanlah mahu mempertahankan Annuar atau mahu mengecam mereka yang ‘menyerang’ Annuar, cuma penulis mahu mempersoalkan kenapakah UMNO kini semakin bercelaru bagaikan tidak tahu arah mana mahu dituju.

Dari satu sudut, UMNO ada menteri dalam Kerajaan Perikatan Nasional, di sudut lain ada pemimpin-pemimpin UMNO yang terus ‘membedal’ Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin, dari sudut di sini UMNO berada dalam Muafakat Nasional dan dari sudut sana ada pemimpin UMNO menganggap kerjasama dengan Pas perlu ditamatkan.

Pening kepala ahli-ahli akar umbi melihat situasi ini. Mereka tak tahu ke mana parti ini mahu dibawa. Siapa yang memungkinkan keadaan ini berlaku? Apakah pemimpin-pemimpin?

Atau kepemimpinan Ahmad Zahid yang ‘ada masalah’? Kalau Ahmad Zahid ada kelemahan tegurlah supaya ia diperbaiki kerana UMNO memerlukan kepemimpinan yang tegas dalam berhadapan dengan senario masa kini? Kenapa tidak ada yang menegur? Apakah kerana bimbang tidak dapat jadi calon pilihan raya?

Penulis tidak tahu, penulis hanya bertanya (jangan marah). Ia memandangkan dari semasa ke semasa, pemimpin UMNO paling banyak bercakaran sesama sendiri dalam media. Ia tidak baik untuk parti itu termasuklah apabila kerap sangat mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional.

Boleh dikatakan ada sahaja isu dibangkitkan sehingga rakyat menjadi keliru apa sebenarnya berlaku? UMNO juga sebahagian daripada kerajaan. Kalaupun ada kelemahan bincanglah secara dalaman bukannya bertindak membuat kenyataan yang hanya akan mengeruhkan suasana.

Begitu juga dengan hala tuju dalam soal kerjasama dengan parti lain ia harus jelas. Janganlah satu kelompok pemimpin bercakap lain, satu lagi kelompok lain pula nadanya.

Mungkin ada dalam kalangan pemimpin UMNO merasakan parti itu kuat dan popular tetapi kekuatan dan populariti itu tidak akan kekal, jika setiap teguran atau pandangan contohnya seperti dilontar oleh Annuar dianggap ‘jurucakap kepada parti lain’.

Sepatutnya apa yang dikatakan oleh Annuar bukannya dikecam sebaliknya dijadikan ruang untuk UMNO memperbaiki kelemahan yang ada. Jika tidak sampai bila-bila pun orang akan menganggap UMNO tidak pernah mahu berubah walaupun sudah kalah dalam pilihan raya.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan