28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Jika UMNO, Pas, Bersatu bergelut sesama sendiri, PH yang untung

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEBELUM tahun 1987, hanya dua parti Melayu yang bergelut merebut sokongan orang Melayu iaitu UMNO dan Pas.

Walaupun pada tahun 1988, orang Melayu terpecah kepada tiga parti apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat (S46) namun pertarungan tetap melibatkan dua kelompok.

Satu kelompok ialah UMNO manakala satu lagi kelompok melibatkan gabungan S46 dan Pas. Bagaimanapun S46 dibubarkan pada 1996.

Tiga tahun kemudian, orang Melayu berpecah lagi apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditubuhkan. Berikutan itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1999 menyaksikan UMNO yang mengepalai Barisan Nasional (BN) terpaksa bertarung menentang PKR yang bekerjasama dengan Pas.

Walaupun 2004, BN dan UMNO menang selesa namun pada tahun 2008, buat pertama kalinya dalam sejarah parti tersebut kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen sekaligus meletakkan kuasa politik orang Melayu mulai lemah. Dan keadaan menjadi semakin parah dalam PRU-13.

UMNO tidak lagi menjadi parti Melayu yang digeruni manakala Pas pula dilihat tidak berkemampuan memperkukuhkan kembali kuasa politik orang Melayu.

Penubuhan Parti Bersatu oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad memecahkan lagi perebutan kuasa politik dalam kalangan orang Melayu. Pengundi Melayu terpecah kepada tiga kelompok tidak termasuk golongan atas pagar, kesudahannya biarpun dalam pilihan raya umum 2018, UMNO menang banyak kerusi tetapi mereka kehilangan kuasa.

Bersatu yang bertindak bekerjasama dengan DAP berjaya menubuhkan kerajaan namun hanya bertahan 22 bulan sahaja sebelum Dr.Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatan dan keluar daripada Bersatu.

Lanjutan itu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu menjemput dua parti Melayu iaitu UMNO dan Pas untuk bergabung dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Ketika itu kedua-dua parti berkenaan sudahpun bergabung dalam Muafakat Nasional melalui piagam perpaduan ummah yang termeterai pada 14 September 2019.

Kewujudan Muafakat Nasional menggembirakan orang Melayu kerana ia menyatukan dua parti terbesar orang Melayu dan ternyata ia berjaya membentuk satu kekuatan politik luar biasa sehingga UMNO mampu menang pilihan raya kecil yang diadakan di beberapa kawasan.

Apabila UMNO dan Pas bersetuju bersama dalam Kerajaan Perikatan Nasional, ia menjadikan parti Melayu mendominasikan pemerintahan negara sehingga ia menimbulkan perasaan gerun kepada Pakatan Harapan.

Permuafakatan antara tiga parti Melayu itu boleh menjadi ‘senjata paling ampuh’ untuk memperkukuhkan kembali kuasa politik orang Melayu dalam PRU-15.

Malangnya, sejak kebelakangan ini keretakan mula kelihatan khususnya melibatkan UMNO dan Bersatu. Beberapa pemimpin UMNO mula secara lantang mahukan permuafakatan itu ditamatkan.

Segalanya kerana pemimpin UMNO melihat permuafakatan itu merugikan mereka. Banyak jawatan penting dalam Kabinet tidak diperolehi manakala ada dalam kalangan pemimpin Bersatu dilihat mengamalkan politik melampau sehingga dianggap mahu melemahkan UMNO.

Advertisements

Pada masa sama, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kerjasama politik antara UMNO dan Bersatu dan Pas melalui Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional. Kata Ahli Parlimen Gua Musang itu;

‘’Apa untung kita dengan PPBM? Apa untung kita berpakat dengan Pas”? Matlamat mereka seakan sama, akhirnya kita bergaduh pula,’’ kata seperti dilaporkan oleh Malaysia Insight.

Sebenarnya untuk menyatukan ketiga-tiga parti Melayu itu tidaklah sukar tetapi yang menjadi halangan besar ialah pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Inilah isu yang sememangnya sudah dijangka sejak awal lagi akan menggugat hubungan UMNO dengan kedua-dua parti tersebut.

Tetapi ia bukanlah yang tidak boleh diselesaikan asalkan ketiga-tiga parti bersedia bertolak ansur demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam keseluruhan.

Dalam kalangan pemimpin UMNO, ada antara mereka terlalu yakin dengan berjuang sendirian, parti itu akan mencapai kejayaan cemerlang, biarpun sebenarnya hasrat itu tidak akan menguntungkan kuasa politik orang Melayu.

Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan parti Melayu dan Pakatan Harapan yang akan rugi adalah parti Melayu. Sedangkan kalau difikirkan jika ketiga-tiga parti Melayu itu bergabung dan bersama-sama turun ke gelanggang PRU-15, insha-Allah kuasa politik Melayu akan kembali kuat.

Pada masa sama, beberapa pemimpin Bersatu juga haruslah berhati-hati, janganlah mahu menjadi ‘taiko besar’ dengan melakukan gerakan politik yang boleh merenggangkan hubungan antara parti itu dengan UMNO.

Pemimpin-pemimpin Bersatu perlu ingat di peringkat akar umbi UMNO, mereka menolak secara total kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini. Segalanya kerana mereka masih terluka dengan tindakan Bersatu menerima ahli-ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu.

Oleh itu Bersatu pun kenalah pandai membawa diri dan bukannya cuba menunjukkan keangkuhan tidak bertempat kerana di peringkat akar parti itu terlalu lemah. Ini faktanya.

Justeru pemimpin ketiga-tiga parti perlu berunding dengan tenang dan hati terbuka. Mereka harus mencari formula terbaik bagaimana untuk memastikan isu pembahagian kerusi tidak memecah belahkan kerjasama melibatkan ketiga-tiga parti itu serta mencari persefahaman atas dasar persahabatan dan persaudaraan Islam.

Ia memandangkan jika UMNO, Pas dan Bersatu tidak mahu Pakatan Harapan kembali memerintah, mereka tidak ada pilihan selain daripada bersatu dalam satu gabungan.

Jika tidak, Pakatan Harapan tidak perlu berbuat apa-apa untuk menang pilihan raya kerana percakaran sesama parti Melayu sudah cukup memberikan mereka keuntungan.

Hakikatnya, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan dan tidak ada kemelut yang tidak boleh diakhiri asalkan apa yang penting ada keikhlasan.

Tetapi kalau ada mahu tunjuk besar kepala, rasa sudah kuat dan memikirkan untung rugi kuasa politik parti masing-masing, sudah pasti harapan mahu melihat orang Melayu bersatu dalam satu wadah perjuangan akan berkecai.

Akhirnya orang Melayu hanya ‘menang sorak, kampung tergadai’, itulah yang akan berlaku kalau susah sangat orang Melayu mahu bersatu. Isyaratnya sudah ada pada PRU-14. Kenapa? Fikirlah sendiri!

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan