25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Terima kasih ‘frontliner’, anda adalah wira negara -PM

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pengorbanan petugas barisan hadapan negara dalam memastikan usaha kerajaan memenangi perang ke atas Covid-19 sebagai tidak ternilai harganya.

Menurut Perdana Menteri, beliau merasa sangat insaf melihat pengorbanan wira-wira negara yang tanpa henti berkorban masa dan tenaga untuk memerangi Covid-19.


Malah katanya, beliau sangat berbangga dengan kerjasama yang sangat kukuh di antara pelbagai agensi kerajaan dalam memastikan usaha kerajaan menjadi kenyataan.

“Percayalah, rakyat di seluruh negara amat berterima kasih kepada anggota TUDM, KKM dan  petugas barisan hadapan yang lain, atas komitmen yang berterusan dalam usaha memastikan misi memerangi Covid-19 ini berjaya.

“Mereka ini berjuang ‘di  perbatasan’ meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi tekad untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada virus yang telah meragut banyak nyawa. Pengorbanan anda semua tidak ternilai harganya.


“Terima kasih ‘Frontliners’. Anda adalah wira Negara dan kami sangat berbangga dengan  anda semua,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

MUHYIDDIN meninjau persiapan terkahir misi penghantaran barang keperluan ‘frontliner’ di Pangkalan Udara Subang, hari ini. foto FACEBOOK MUHYIDDIN YASSIN

Muhyiddin memberitahu, beliau meninjau persiapan terakhir misi penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik Covid-19 ke Sabah dan Sarawak melalui pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang, Selangor, pagi ini.

Katanya, turut hadir bersama beliau adalahMenteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad. 

Muhyiddin memberitahu, beliau dimaklumkan dua buah pesawat TUDM terlibat dalam misi hari ini, iaitu pesawat A400M dan C-130H yang akan membuat penerbangan ke Kuching, Kota Kinabalu, Tawau dan Labuan sebelum kembali semula ke Pangkalan Udara Subang. 

“Saya berpeluang melihat secara dekat pelbagai kelengkapan dan peralatan kesihatan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk barangan sumbangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dikumpulkan  sebelum diterbangkan untuk digunakan petugas barisan hadapan di lapangan. 


“Antaranya set peralatan perlindungan diri (PPE), ventilator, jumpsuit, protective coverall, ward screen, procedure trolley, Biological Safety Cabinet, pelitup separuh muka, pelindung muka, pensanitasi tangan serta naskhah al-Quran dan buku doa Darussyifa.


“Penugasan bantuan penerbangan pesawat TUDM ke Sabah dan Sarawak ini telah pun bermula sejak 22 Mac lepas dengan penerbangan lebih kerap kebelakangan ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di Sabah,” katanya.


Muhyiddin berkata, selain keperluan peralatan perubatan dan fasiliti, pesawat TUDM ini turut menerbangkan doktor, staf perubatan serta sukarelawan bagi membantu memperkasakan usaha memerangi penularan wabak itu di Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, sehingga hari ini, sebanyak 17 bantuan penerbangan telah dilakukan TUDM yang membawa pelbagai muatan seberat 433,886.5 kilogram, manakala sebanyak 471 kotak sampel Covid-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau telah dibawa balik sepanjang Oktober untuk diuji di makmal-makmal di Semenanjung Malaysia.


“Saya ingin menzahirkan penghargaan atas khidmat bantuan penerbangan dilakukan TUDM yang memberi kemudahan kepada banyak pihak khususnya KKM dalam misi menghantar peralatan dan petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan