25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Oasis Arab Saudi diiktiraf Guinness terbesar di dunia

Mesti Baca

JEDDAH – Mungkin ramai dalam kalangan kita masih lagi menyangka Arab Saudi hanya diliputi padang pasir tandus yang ‘kaya’ dengan bahan sumber asli petroleum, selain dua Tanah Suci iaitu Mekah dan Madinah.

Namun, bagi mereka yang pernah bekerja atau belajar di negara rantau Asia Barat itu, tentunya tahu mengenai kehijauan tanah subur dengan aneka tanaman di Al-Ahsa, wilayah terbesar di Arab Saudi.

Bayangkanlah, dengan keluasannya 534,000 kilometer persegi tetapi hanya dihuni kurang dua juta penduduk, Al-Ahsa lebih dikenali di dunia dek ada lebih 30 juta pokok kurma yang bermutu tinggi.

Kebanjiran tanaman itu menyaksikan sebuah kilang milik Kementerian Pertanian Arab Saudi mampu memproses sehingga lima tan buah kurma setiap hari bagi pasaran domestik dan eksport ke luar negara.

Tidak cukup dengan itu, Al-Ahsa yang bersempadan dengan negara jirannya iaitu Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman, juga ‘mewah’ dengan sawah padi berwarna merah dikenali sebagai hesawi.

Beras daripada tumbuhan bijirin ini malahan dikenal pasti antara harga paling mahal di pasaran dunia apabila gred tertinggi dilaporkan mampu cecah 50 riyal (kira-kira RM55.20) untuk setiap kilogram.

Meskipun padi ini cuma hidup di sawah dengan suhu 48 darjah Celsius, namun ia menjadi rebutan kerana khasiatnya baik untuk pesakit tulang rapuh atau patah selain memulihkan tenaga wanita selepas melahirkan bayi.

Terbaharu, Al-Ahsa sekali lagi jadi fokus utama apabila oasis di wilayah ini yang terletak kurang 100 kilometer dari Teluk Parsi, diiktiraf pihak Guinness World Records sebagai mempunyai saiz paling besar di dunia.

Advertisements

Menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan, Arab News, pengesahan tersebut disahkan dalam laman sesawang rasmi badan perekod global yang berpusat di Britain itu pada 9 Oktober lalu.

Guinness menerusi keterangannya berkata, oasis berkeluasan 85.4 kilometer persegi itu malar hijau sepanjang tahun kerana mengandungi 280 mata air yang menyuburkan lebih 2.5 juta pokok kurma di situ.

Ia sekali gus ‘menepati’ namanya sendiri yang dalam bahasa Arab klasik, Al-Ahsa bermaksud bunyi air daripada saliran bawah tanah sejak mula diduduki manusia moden pada tahun 627 Masihi lagi.

Pengiktirafan antarabangsa itu amat besar maknanya kepada kerajaan Arab Saudi sendiri yang baru sahaja ceria meraikan Hari Kebangsaan Ke-90 pada 23 September lalu dalam suasana norma baharu.

Lebih unik, ia merupakan rekod dunia ke-93 yang dicatatkan negara berkenaan oleh pihak Guinness sehingga kini iaitu kedua paling banyak selepas UAE bagi rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Hakikatnya, oasis Al-Ahsa memang hebat setelah ditauliahkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2018 lepas oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kawasan hijau beriklim tropika ini ‘padat’ sejarah termasuk pernah menjadi antara 10 kota terbesar dunia dengan lebih 110,000 penduduk pada tahun 1000 Masihi, di samping ditawan oleh pelbagai empayar.

Justeru, bagi orang luar yang sering salah faham dengan imej gurun gersang Arab Saudi konon cuma ada unta, lembah danau Al-Ahsa membuktikan rahmat kekuasaan Tuhan terhadap para hamba-Nya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan