KUALA LUMPUR – Dipercayai kecewa setelah usahanya membawa usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat yang lalu menemui kegagalan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyiarkan usul itu di laman sosial dan blognya.
Bekas perdana menteri itu berkata, usul tersebut sudah dua kali diletakkan pada akhir sidang Dewan Rakyat walaupun usul berkenaan telah disenaraikan tetapi kerajaan menentukan usul tersebut tidak akan dikemukakan dan dibahas.
“Usul kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.
“Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen, maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai,” katanya hari ini.
Dalam usul itu, Dr Mahathir menyenaraikan puluhan sebab beliau mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Dr Mahathir menjelaskan sebab utama usul itu, termasuk keputusan Muhyiddin bersama UMNO dan Pas untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam bagi mengelakkan DAP “menghancurkan orang Melayu”.
“Dakwaan DAP boleh hancur orang Melayu tidak masuk akal. Orang Melayu tidak mudah dihancur. Percubaan British merampas negeri-negeri Melayu melalui Malayan Union digagalkan oleh orang Melayu.
“Jika DAP cuba hancurkan orang Melayu, ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) sebagai menteri dalam negeri pada masa itu boleh batalkan pendaftaran parti itu dan haramkan aktiviti mereka.”
Menurutnya, beliau tidak dapat menerima alasan Muhyiddin bersama UMNO kerana ia mengkhianati pengundi yang menolak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya telah minta PPBM tangguhkan perancangan ini, tetapi Muhyiddin sudah rapatkan hubungan PPBM dengan UMNO dan Pas di Hotel Sheraton untuk merayakan gabungan antara mereka.
“Sesungguhnya cara beliau menjadi perdana menteri amatlah memalukan. Ia tidak pernah berlaku sehingga kini di Malaysia. Beliau sendiri mengaku kerajaan Perikatan Nasional ini bukanlah kerajaan pilihan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tanpa pilihan raya umum (PRU) mencabul sistem dan aturan peraturan dalam Perlembagaan Negara.
Cara itu katanya akan menghilangkan kepercayaan rakyat bahawa melalui PRU rakyat dapat bentuk kerajaan pilihan mereka.
“Yang jelas ialah suara rakyat tidak mempunyai nilai di Malaysia lagi. Kerana melalui pintu belakang parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi kerajaan. Rakyat tertipu dengan cara ini.
“Apa gunanya PRU jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendirikan kerajaan dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan.
“Inilah sebab utama yang saya kemukakan usul tidak percaya kepada YAB Tan Sri dari Pagoh sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Dr Mahathir mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin merampas hak rakyat yang mengundi memilih kerajaan pada pilihan raya umum yang lalu.
“Seperti yang Tan Sri sendiri mengaku kerajaan Tan Sri bukanlah kerajaan pilihan rakyat. Ia adalah hasil dari penipuan terhadap rakyat yang bersusah payah datang dari jauh dan dekat untuk mengundi.
“Kita tidak perlu undang-undang untuk menghalang penipuan seperti ini. Kita harap orang politik di Malaysia mempunyai moral yang tinggi dan menolak rasuah dan penipuan. Jika tidak, maka akan hancurlah negara kerana akan diperintah oleh penyangak dan penyamun,” katanya.
Oleh itu, dalam penutup usul berkenaan, beliau kemudiannya mencadang agar kerajaan Perikatan Nasional menyerah balik kuasa kepada yang hak.