26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PM dari UMNO: Tok Mat calon paling popular?

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

RAMAI penyokong UMNO yang melenting apabila bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin menyebut bahawa parti itu tidak mempunyai calon yang lebih berwibawa untuk menjadi Perdana Menteri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu sebaliknya mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon terbaik untuk mengemudi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Akibatnya timbul tanda tanya tentang motif Khairy atau mesra dipanggil KJ – yang pernah bertanding merebut jawatan Presiden UMNO sebelum ini tetapi kalah – itu mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Benarkah UMNO yang mempunyai 3.5 juta ahli ketandusan seorang pemimpin yang layak diangkat sebagai calon Perdana Menteri, jika MN berjaya membentuk kerajaan dalam PRU-15 nanti?

Apakah pucuk pimpinan parti yang ada hari ini, yang dipilih dalam pemilihan UMNO selepas PRU-14 itu langsung tidak mempunyai kewibawaan untuk memimpin negara?

Berdasarkan tinjauan, pembacaan dan pemerhatian penulis menerusi media sosial, ternyata nama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan paling popular untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

Tidak hairanlah apabila Mohamad mengumumkan akan bertanding di Parlimen Rembau, bukan sahaja ahli-ahli UMNO di bahagian itu yang kegirangan tetapi juga disambut oleh para penyokong UMNO di seluruh negara.

Malahan mereka yang berada di atas pagar juga menyambut baik keputusan tersebut, yang dianggap sebagai satu langkah permulaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu untuk menduduki Putrajaya.

Mohamad atau Tok Mat dilihat sebagai sosok pemimpin UMNO yang bersih, tidak terpalit dengan kes mahkamah, bersahaja, bijak mengatur kata dan petah berbicara.

KHAIRY JAMALUDDIN

Beliau juga dilihat sebagai sosok pemimpin yang mudah didekati, mesra dengan rakyat dan tidak gopoh selain tetapi setia dengan pemimpin atasannya.

Tidak hairanlah ada yang menuduh kenyataan KJ itu sebagai satu usaha untuk melemahkan ‘keupayaan’ Tok Mat yang bakal menggantikannya di Rembau, dan ‘menendangnya’ ke Tampin atau Port Dickson.

Tok Mat telah membuktikan kewibawaannya apabila berjaya ‘menenangkan’ pemimpin, ahli-ahli dan para penyokong UMNO di semua peringkat selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 yang menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah UMNO menjadi pembangkang.

Peluang diberikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan untuk ‘berehat’ selama hampir setahun, meletakkan UMNO yang ketika itu umpama kapal yang kehilangan jurumudi dan hampir karam di bahu Tok Mat.

Namun dengan ketenangan beliau, akhirnya UMNO dapat dipulihkan, hala tuju UMNO telah diatur semula, semangat ahli-ahli dan penyokong parti dipulihkan dan yang penting Tok Mat telah berjaya menyelamatkan parti.

Dengan mengambil semangat bidalan “ayam tak berkokok hari tetap siang”, Tok Mat berjaya menyusun semula puing-puing UMNO yang runtuh, menampal lubang-lubang yang ditinggalkan dan menggerakkan semula parti yang hampir lumpuh.

Dan apabila UMNO sudah ‘pulih’ baharulah Zahid kembali daripada istirehatnya yang kemudian dilihat berjaya menyatukan parti-parti Melayu-Islam melalui pembentukan Muafakat Nasional (MN).

Manakala para pemimpin lebih senior (kecuali Datuk Seri Najib Razak), bekas-bekas pucuk pimpinan parti, kembali memunculkan diri selepas ‘menghilang’ sejak kekalahan BN.

Malah KJ yang dilihat sebelum ini sebagai pemimpin muda juga ‘menghilangkan diri’ dan hanya ‘muncul semula’ selepas dilantik sebagai menteri di bawah kerajaan Muhyiddin.

Justeru, tidak hairan andai ramai yang menganggap KJ hanya dapat melihat kewibawaan Muhyiddin tetapi gagal mengenal pasti rakan-rakan sendiri di dalam parti.

Ya, benar Muhyiddin dilihat berwibawa kerana berjaya mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan baik tatkala wabak Covid-19 melanda, ketika ekonomi menguncup dan ketika rakyat begitu marah dengan kerajaan PH.

Muhyiddin dilihat lebih berwibawa kerana berjaya membentuk kerajaan PN yang lebih ‘kuat’ berbanding PH yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, biarpun ini kali kedua Ahli Parlimen Langkawi itu menerajui negara selepas 22 tahun sebagai Perdana Menteri Keempat.

Namun tidak dinafikan kewibawaan Muhyiddin turut dibantu oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Pas, yang lebih berpangalaman dalam Kabinet, termasuk KJ sehingga berjaya meyakinkan rakyat.

Pun harus diingat, Muhyiddin mempunyai rekod sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet yang lama. Justeru, sudah tentu dengan pengalaman yang beliau miliki, akan mampu mengemudi kerajaan dengan lebih baik.

Justeru, tidak kurang juga melihat gandingan kedua-dua pemimpin ini – Muhyiddin dan Mohamad – boleh memberi impak yang lebih besar terutama segi keyakinan rakyat terhadap kerajaan MN.

Jadi seandainya Muhyiddin dikekalkan sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti, ada baiknya juga andai Tok Mat pula sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tak begitu?

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan