28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Bertanding di Rembau: Tok Mat jangan pula tarik ‘hand brake’!

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

APABILA Datuk Seri Mohamad Hasan atau mesra dipanggil Tok Mat menyebut mahu bertanding di Parlimen Rembau, sebetulnya ia bukan sahaja disambut dengan sorak gembira oleh ahli-ahli UMNO bahagian itu, malahan oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.

Tok Mat boleh sahaja marahkan media kerana menyiarkan berita tersebut tetapi sebetulnya itu merupakan perkhabaran gembira oleh banyak pihak, baik penyokong Tok Mat, ahli-ahli UMNO bahkan mereka yang bukan ahli.

Tidak hairan berita mengenainya yang disiar oleh Edisi 9, media pertama yang menghidu perkara itu meletup-letup sehingga menjadi sebutan banyak orang, dan tidak kurang juga yang sentap.

Ekoran tersebarnya perkara itu, yang sebetulnya dicadangkan oleh Ketua UMNO Cawangan Sri Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said yang kemudian disambut oleh Tok Mat sendiri ketika merasmikan mesyuarat agung UMNO cawangan tersebut.

Namun sayangnya maklum balas yang diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah ‘tidak begitu senang’ dengan kenyataan terbuka Tok Mat yang mahu menggantikan Khairy Jamaluddin (KJ) di Parlimen Rembau.

Zahid yang memberi respon terhadap perkara itu berkata UMNO belum membuat ketetapan tentang siapa yang akan bertanding dan di kerusi mana mereka akan diletakkan kerana menganggap perkara itu masih terlalu awal.

Beliau juga menegaskan pihaknya bersama rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu akan duduk berbincang untuk menentukan pengagihan kerusi masing-masing.

Jelas, kenyataan Zahid itu bersifat ‘jalan selamat’ bagi mengelak pihak-pihak tertentu tersentap dengan pengakuan Tok Mat tersebut, walhal itu hanyalah bayangan beliau.

Benar, selaku Timbalan Presiden parti, maka sudah tiba masanya bagi Tok Mat untuk bertanding di peringkat Parlimen dan kawasan yang paling sesuai sudah tentu di kampung halamannya, Rembau.

Lagi pun Tok Mat pula adalah Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian tersebut, maka beliau sudah tentu mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Cadangan Tok Mat untuk bertanding di Rembau tidak bermakna beliau mahu mengenepikan penyandangnya, KJ sebaliknya turut memberi cadangan untuk meletakkan menantu Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu di Tampin.

Lagi pula, inilah masanya bagi KJ membuktikan bahawa beliau bukan kaleng-kaleng pemimpin, sebaliknya mempunyai kekuatan tersendiri terutama menarik sokongan pengundi muda di Tampin, sekali gus mampu merampas kerusi kawasan itu daripada parti Amanah.

Apa yang penulis paling tidak faham kenapa Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa membuat kenyataan agar berhati-hati bercakap soal kerusi kerana dianggap perkara sensitif dan melanggar perlembagaan parti.

Advertisements

Takkanlah Tok Mat selaku Timbalan Presiden, yang sudah tentu jawatannya lebih tinggi daripada Annuar tidak boleh bercakap kepada orang kampungnya tentang cadangan untuk bertanding di Rembau.

Amaran oleh Annuar seolah-olah beliau takut untuk berkata-kata soal pengagihan kerusi, yang dalam hal ini penulis percaya beliau cuba untuk tidak menyinggung hati rakan-rakan dalam Muafakat Nasional (MN).

Penulis faham memandangkan kerusi Parlimen Ketereh amat ‘sensitif’ untuk disebut kerana jika Bersatu sah menyertai MN, sudah tentu kawasan tersebut akan menjadi isu ‘berat’ sama ada ia milik UMNO, Pas atau Bersatu.

Dalam PRU-14 lalu, Annuar menang di Parlimen Ketereh tetapi selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), lawannya yang ditewaskan dalam pilihan raya itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pula dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Kanan (Pendidikan).

Ini bermakna jika Bersatu menyertai MN, maka kedudukan Annuar untuk mempertahankan kerusi Ketereh sudah tentu tergugat kerana Mohd Radzi yang juga Ketua Penerangan Bersatu sudah tentu mahu bertanding di kerusi yang sama. Itu belum lagi diambil kira jika Pas juga mahukan kerusi yang sama.

Oleh sebab itulah bagi Annuar menerusi twitternya: “Permintaan kerusi, pemberian kerusi, pertukaran kerusi semuanya mengundang sensitiviti jika tak kena pada masa, tempat dan cara. Perlu berhemah dan berkebijaksanaan.”

Namun, dalam konteks Tok Mat, beliau mempunyai ‘kuasa’ untuk memilih calon dan meletakkan mereka di kerusi yang beliau fikirkan sesuai, samada kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lagipun sudah lama rakyat mahu melihat Tok Mat, yang dianggap sebagai pemimpin UMNO yang paling bersih, tidak terpalit dengan sebarang isu, menduduki kerusi tertinggi dalam Kabinet.

Sentimen orang ramai sekarang begitu selesa jika Tok Mat dapat diangkat sebagai pemimpin nombor satu parti dan negara. Memang benar itu bukan kehendak Tok Mat kerana beliau bukan seorang pemimpin yang gelojoh, tetapi rakyat yang menilai.

Berdasarkan maklum balas orang awam, nama Tok Mat antara yang berada di kedudukan tertinggi dalam pemilihan seorang figura untuk memimpin negara.

Justeru, tidak hairan apabila beliau menyebut akan bertanding di Rembau, ia umpama satu rahmat dan memenuhi impian banyak pihak.

Cuma harapan penulis, Tok Mat tidak cepat melatah dengan maklum balas yang diberikan oleh ‘bosnya’ dalam parti atau rakan-rakan lain jika ada yang tidak senang dengan keputusan yang beliau buat.

Jangan pula Tok Mat menarik hand brake dan membatalkan hasratnya itu kerana jika beliau berbuat sedemikian sudah tentu ia akan mengecewakan beratus-ratus ribu ahli UMNO yang ada, dan para pengundi serta rakyat yang cintakan keamanan negara amnya.

Ayuh, Tok Mat. Walaupun penulis bukan pengundi di Parlimen Rembau dan bukan pula menjadi ahli mana-mana parti politik, namun figura Tok Mat sebetulnya boleh menjadi daya penarik bagi rakyat untuk kembali menyokong UMNO.

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan