31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Stoking kalimah Allah: Mohamad beri ingatan kepada provokator

Mesti Baca

DATUK Seri Mohamad Hasan mengingatkan provokator yang membela pemilik rangkaian kedai serbaneka atau pembekal stoking dengan kalimah Allah bahawa isu tersebut bukan berkaitan dengan perkauman atau parti politik.

Sebaliknya, kata Timbalan Presiden UMNO itu, ia adalah isu agama dan mencetak kalimah Allah pada stoking secara langsung menghina serta mencemarkan kepercayaan lebih 1.5 bilion umat Islam di mana sahaja berada.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri berkata, gelombang rasa tidak puas hati dan kemarahan yang tercetus ketika ini bukanlah sesuatu yang tidak wajar.

“Sebagai umat Islam yang taat kepada agama, adalah menjadi kewajipan untuk memelihara dan melindungi agama dalam apa jua cara sekalipun,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Berikut kenyataan penuh Mohamad seperti dimuatkan dalam Facebook beliau:

Isu stoking yang mengundang kontroversi telah mendominasi tajuk utama negara sejak minggu lalu.

Seperti mana saudara Islam yang lain, saya amat terkejut dengan amalan perniagaan KK Mart yang mengundang persoalan setelah menjual stoking yang mengandungi kalimah “Allah”.

Di negara majmuk seperti Malaysia, tindakan sebegitu jelas menyinggung perasaan umat Islam dan boleh menggugat keharmonian negara dengan teruk.

Sejak isu ini tercetus, pihak tertentu telah menggunakan media sosial untuk membela mereka yang bertanggungjawab sama ada pemilik rangkaian kedai serbaneka itu atau pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Saya terpaksa mengingatkan kepada provokator bahawa isu ini bukan isu Melayu. Ia bukan isu perkauman dalam apa jua bentuk. Ia juga bukan isu partisan, sama ada dari UMNO, MCA, DAP, PN atau PH.

Dengan jelas, ini adalah isu agama. Mencetak kalimah suci ‘Allah’ pada stoking secara langsung menghina umat Islam di mana sahaja. Ia mencemarkan kepercayaan utama lebih daripada 1.5 bilion umat Islam.

Gelombang rasa tidak puas hati dan kemarahan yang tercetus ketika ini bukanlah sesuatu yang tidak wajar. Sebagai umat Islam yang taat kepada agama, adalah menjadi kewajipan untuk memelihara dan melindungi agama dalam apa jua cara sekalipun.

Advertisements

Mungkin akan ada yang menganggap reaksi kepada isu ini sebagai ‘melampau’. Saya percaya perkara yang sama turut akan terjadi kepada penganut agama apa sekalipun sama ada Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, Konfusianisme, Tao, Sikh, dan lain-lain.

Apabila ada yang menjentik kepercayaan yang dianuti, mereka juga akan melakukan apa yang perlu bagi mempertahankan kepercayaan masing-masing.

Walaupun masih belum dapat dibuktikan sama ada perbuatan ini dilakukan secara berniat jahat, atau ia kejahilan di pihak mereka, apa pun, mereka tetap melakukan kesalahan.

Jika pelaku dibuktikan bersalah kelak, saya pasti bahawa prosiding undang-undang boleh menentukan hukuman yang sesuai untuk provokator.

Ia akan menyediakan satu bentuk pencegahan dan tindakan yang tegas demi perpaduan agama.

Sekiranya pelaku terbukti tidak cakna akan kesan daripada tindakan mereka, maka kita mesti mengambil langkah yang tuntas untuk memastikan agar kejadian ini tidak akan berulang lagi.

Tetapi bagaimana kita mampu melakukannya? Jawapannya adalah dengan menggalakkan peningkatan toleransi beragama.

Ini memerlukan pemupukan sifat saling hormat-menghormati, persefahaman, dan penerimaan pada kalangan penganut agama yang lain. Terdapat garis merah yang perlu sentiasa diperhatikan dan dihormati.

Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha ini, kerana ia melengkapkan individu dengan pengetahuan dan empati yang diperlukan untuk menghargai kepelbagaian agama.

Pemeliharaan keharmonian beragama menjadi tonggak kestabilan dan kemajuan masyarakat. Kepentingan untuk menjaga keharmonian ini usahlah dipertikaikan, kerana ia bukan sahaja memastikan kewujudan bersama secara aman, tetapi juga memupuk rasa perpaduan dan kekuatan kolektif di kalangan rakyat Malaysia.

Negara kita berada pada satu persimpangan yang penting, di mana perpaduan bukan hanya satu kebaikan, tetapi satu keperluan strategik.

Dengan bersatu hati sesama kita sebagai warganegara, mengatasi jurang agama, etnik dan budaya, kita pastinya dapat memanfaatkan kekuatan kolektif tanah air ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan