29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

MP UMNO sokong Anwar: Pas minta penjelasan UMNO

Mesti Baca

KUALA LUMPUR –  Pas hari ini meminta penjelasan UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas merasakan jika benar keadaan ini, ianya bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019. 

Beliau berkata, sukacita diingatkan, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatu-padukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Amanah. 

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN (Barisan Nasional), Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Pas, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH. 

“Sehubungan itu Pas berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, beliau akur sekiranya benar beberapa ahli Parlimen dari parti itu yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, UMNO dan BN tidak dapat menghalang hasrat menyokong Presiden PKR itu yang dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong nanti.

Katanya, parti itu juga bukanlah sebahagian daripada PN namun ianya hanyalah sokongan yang dinyatakan oleh ahli-ahli Parlimen sahaja.

UMNO dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan.

“Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” katanya. – Edisi9 

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan