29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bukan dihempap konkrit tapi dilanggar kren

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan beberapa media sosial bahawa kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Len Seng malam tadi disebabkan oleh runtuhan konkrit dari Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) seperti yang ditularkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya menjelaskan, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam tadi disebabkan oleh rempuhan kren dari belakang kereta berkenaan.

“Siasatan mendapati, semasa pemandu telah belok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Seng dari Cheras, pemandu telah dilanggar daripada belakang oleh sebuah kenderaan dipercayai sebuah motokar kren yang sedang bergerak lurus di Jalan Len Seng.

“Akibat kemalangan, bahagian depan penyangkut kren telah melanggar bumbung kereta dan pemandu telah tersangkut di dalam kereta.

“Pemandu kereta yang berusia 50 tahun kemudian dikeluarkan daripada kereta dengan bantuan pihak bomba.

“Akibat kemalangan tiada sebarangan kecederaan dialami oleh pemandu dan tiada sebarang serpihan objek ditemui dalam kereta,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Zulkefly pada masa sama menambah bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kren tersebut setakat ini.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa terdapat satu lagi kejadian runtuhan konkrit atau serpihan besi yang berlaku di kawasan pembinaan SUKE di Taman Len Seng, Cheras.

Ia ternyata memberikan kebimbangan kepada orang ramai terutama yang menggunakan laluan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) ketika dihubungi Bernama berkata, kerja-kerja pembinaan lebuh raya SUKE dihentikan serta-merta sejak insiden membabitkan kenderaan dipandu seorang wanita dihempap parapet konkrit petang semalam.

Jelasnya, laporan awal yang diterima Prolintas mendapati kejadian disyaki berlaku membabitkan kemalangan dua kenderaan.

Kejadian itu tular di media sosial malam tadi memaparkan sebuah kereta rosak di bahagian bumbung dan pasukan bomba melakukan operasi.

Menerusi video tersebut, mangsa seorang lelaki berusia 50-an dilihat berada dalam keadaan selamat.

Sabtu lalu, dalam kejadian kira-kira 5.45 petang seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit dari kerja-kerja pembinaan lebuh raya SUKE menghempap kereta yang sedang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera di bahagian tangan kiri.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan