28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Saya ‘dimangsakan’ kerana dendam kesumat seseorang

Mesti Baca

MUKADIMAH :

DALAM bahagian pertama, wawancara SUARA.TV bersama DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI, Presiden UMNO itu melontarkan pandangan mengenai usaha memperkukuhkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Untuk BAHAGIAN AKHIR wawancara tersebut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mempertegaskan pendirian beliau berhubung tindakan tidak menyertai Kabinet Perikatan Nasional dan kes mahkamah yang sedang beliau tempuhi.

  • Biar proses perundangan berjalan, tidak mahu pertuduhan ditarik balik

Kita tahu bahawa pegangan Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pemimpin-pemimpin yang berada dalam barisan jemaah menteri terdiri daripada mereka yang bersih dan mesti kelihatan bersih.

Saya memahami mesej itu sebagai satu perkara yang digarisbawah kepada pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional.

Saya merasakan pertuduhan yang mengheret saya ke mahkamah berdasarkan kepada political prosecution adalah satu hambatan untuk saya berada dalam jemaah menteri.

Ia kerana tentu sekali persepsi awam, persepsi khalayak yang memperlihatkan kononnya saya adalah seorang penjenayah yang melakukan 80 pertuduhan yang sangat-sangat terpilih dan bermotif politik.

Ketika itu kerajaan PH diketuai oleh seseorang yang sangat marah kepada saya…bukan ketika ini sahaja, malah ketika saya menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1996 pun, ketika itu beliau telah marah kepada saya.

Saya tidak terkejut jika dendam kesumat politik ini terus berjalan apatah lagi kuasa datang semula kepada beliau untuk kali kedua, sudah tentu saya ‘dimangsakan’ apabila saya mengetuai UMNO sebagai Presiden yang dipilih oleh perwakilan.

Tentulah jika saya bukan Presiden UMNO maka saya tidak akan dituduh dengan 87 pertuduhan.

(Ramai tidak tahu) bagaimana saya telah ditawarkan untuk melompat parti yang diketuai oleh beliau, bagaimana saya telah diminta untuk membubarkan UMNO, oleh kerana saya tidak membubarkan UMNO dan saya sendiri tidak menyertai parti itu maka harga yang mahal terpaksa saya bayar.

Ini tidak diketahui oleh ramai, tetapi SUARA.TV telah memberi peluang ini, saya harus menyatakan perkara yang sebenar. Sebab itulah saya tidak menganggap diri saya berjiwa besar, tetapi saya berlapang dada.

Saya menerima hakikat bahawa kes saya mesti dibersihkan diri di mahkamah, saya tidak mahu tuduhan-tuduhan itu ditarik balik oleh Jabatan Peguam Negara kerana saya tidak melakukan kesalahan.

Namun demikian saya tidak mahu mengganggu proses mahkamah, biarlah mahkamah melakukan keadilan mengikut proses perundangan tetapi jangan ada ‘tangan-tangan’ ghaib yang campurtangan di dalam keputusan yang dibuat oleh mahkamah itu.

Advertisements
  • Ramai tidak tahu sumbangan Yayasan Akalbudi

Masyarakat harus mengetahui Yayasan Akalbudi telah saya daftarkan pada tahun 1997, setahun selepas saya memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Ketika itu saya tidak berada dalam kerajaan, saya tidak dilantik sebagai Setiausaha Parlimen malah tidak juga sebagai Timbalan Menteri jauh sekali daripada Menteri dan menganggotai jemaah menteri.

Ertinya, saya sebagai Ahli Parlimen ketika itu. Pada waktu yang sama ketika yayasan itu ditubuhkan saya mengetuai empat syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Pendapatan saya perolehi bukan hanya dividen daripada syarikat-syarikat tersenarai itu tetapi juga dari segi kenaikan modal saham-saham yang dilaburkan.

Harus diketahui saham-saham yang ada di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai itu bukan saya mewakili parti, jauh sekali mewakili mana-mana GLC ataupun mewakili kerajaan, ertinya seratus peratus milik peribadi.

Harus diingat saya memulakan kerjaya saya sebagai ahli bank sejauh 1976 apabila saya lulus daripada Universiti Malaya.

Selepas itu saya terus meningkat ke tangga dalam bidang korporat apabila saya berpeluang menjadi salah seorang pioneer kepada Amanah Saham Nasional dan juga Permodalan Nasional Berhad, pada masa itu Amanah Saham Nasional sebagai skim amanah yang belum lagi dilancarkan.

Ketika itu saya mempunyai latar belakang perbankan di sebuah bank komersial dan di sebuah bank simpanan. Pendedahan yang diperolehi di Permodalan Nasional Berhad telah memberikan saya peluang untuk mempelajari soal pelaburan saham.

Pengalaman itulah yang digunakan sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dan pada waktu yang sama , saya memegang saham dan mengetuai empat syarikat tersenarai.

Lebihan dividen dan kenaikan modal daripada urusniaga pasaran saham saya masukkan ke dalam dana Tabung Yayasan Akalbudi, wang itu saya gunakan seratus peratus untuk amal jariah, infak, sedekah, wakaf dan perkara-perkara yang dituntut oleh agama.

Ibu bapa saya mempunyai latar belakang agama yang kuat. Walaupun bapa saya hanya seorang ulama kecil di daerah Bagan Datuk tetapi mereka menghantar saya ke sekolah agama. Saya ada garis pemisah antara yang halal dan haram, malah perkara-perkara yang shubahat pun tidak saya lakukan.

Orang tua saya berpesan supaya makan tidak lebih daripada satu pinggan. Kalau ada nasi, lauk atau sayur lebih daripada satu pinggan itulah hak orang yang mempunyai haknya. Dalam erti kata lain, tentulah lebihan pendapatan daripada untung niaga syarikat, saya masukkan ke dalam tabung Yayasan Akalbudi.

Berikutan itu Yayasan Akalbudi meningkat dananya. Bagaimanapun sumbangan yang diberikan termasuklah membina masjid, membina maahad tahfiz, membina sekolah agama, membina rumah anak yatim dan juga memberi bantuan infak dan sedekah jariah serta wakaf tidak diumumkan.

Justeru tidak ramai yang mengetahui sehingga kes saya dibawa di mahkamah yang kononnya saya pecah amanah, rasuah dan juga terlibat aktiviti pengubahan wang haram dalam Yayasan Akalbudi.

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan