31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PRN Sabah: PN perlu elak perang mulut, selesai konflik di meja rundingan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi bakal menjadi ‘medan perang’ buat parti-parti politik berdaftar di negeri ini.

Ini berikutan langkah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohad Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan kemelut politik yang timbul selepas Tan Sri Musa Aman mendakwa cukup kerusi untuk mengambil alih kerajaan.

Bagaimanapun belum sempat ‘gendang perang’ dipalu, sudah ada bunyi kurang enak daripada gabungan parti dan parti penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka.

“Dua perkataan, jangan mimpi.” Itu reaksi Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengulas kenyataan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang berkata parti itu sedia untuk berentap di 45 kerusi DUN pada PRN kali ini.

Tegas Shahril, jika Bersatu mahu bersahabat dengan UMNO maka sebarang keputusan perlu melalui meja rundingan.

“Kalau nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat. Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding. UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.

“Tetapi kalau sebelum berunding pun PPBM (Bersatu) sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45 daripada 73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” katanya.

Bersatu dalam reaksi balas menyaksikan Exco Armada Nasional Bersatu, Muzammil Ismail mengingatkan Shahril supaya tidak celupar dalam membuat kenyataan.

Muzammil meminta Shahril mengingati semula bagaimana UMNO tumbang di Sabah pada PRU-14.

“Apa yang dinyatakan Pengerusi Bersatu, Hajiji adalah hasrat Bersatu dan sememangnya berdasarkan rekod baik ADUN Bersatu sebelum ini.

“Kenapa Shahril melompat lebih hanya kerana risau kerusi UMNO berisiko dipertandingkan oleh Bersatu? Adakah rakyat telah menerima UMNO pada hari ini?

PRN Sabah bakal menjadi ‘medan perang’ buat Shafie Apdal dan Musa Aman

Mungkin ada benarnya dakwaan Muzammil itu sekiranya mengimbau apa yang berlaku pada bulan Mei 2018 apabila enam ADUN BN termasuk empat dari UMNO menyertai Warisan sekali gus menyaksikan kerajaan BN tumbang selepas 48 jam Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah Ketua Menteri.

Seeloknya jumlah kerusi yang akan ditandingi parti komponen ini terlebih dahulu dibincangkan secara muafakat jika PN serius mengambil alih semula kerajaan.

Tambahan pula menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, sebanyak 73 kerusi dipertandingkan pada PRN kali ini, peningkatan daripada 60 DUN sebelum ini.

Sudah tentu tawaran 73 kerusi DUN cukup banyak untuk diagihkan dalam kalangan gabungan dan parti penyokong kerajaan PN.

Malah, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO negeri hanya akan bermesyuarat esok bagi membincangkan jumlah kerusi yang ditandingi mereka.

Eloklah isu agihan kerusi ini diselesaikan di meja rundingan dan elakkan menggunakan media untuk menyerang antara satu sama lain.

Harus diingat, Warisan masih mempunyai sokongan akar umbi yang kuat khasnya di bawah pentadbiran Mohd Shafie.

Buang ego dan jadikan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) sebagai pengajaran buat kerajaan PN. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan