SEJAK kebelakangan ini, kewujudan media-media digital atau portal berita bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Hampir setiap bulan ada sahaja portal berita baharu yang muncul. Ada yang bersifat umum, ada juga sudah diberikan pengkhususan seperti politik, sukan dan hiburan.
Sejak syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Berhad ditutup pada Oktober lalu, sekurang-kurangnya 12 portal berita baharu diwujudkan oleh kalangan bekas wartawannya.
Portal-portal berita ini bolehlah dikelaskan sebagai media ‘nyamuk’ yang ditubuhkan dalam skala kecil, dengan dua tiga kerat wartawan dan editor.
Ia boleh sahaja dikendalikan di bawah syarikat enterprise, malah ada di antaranya tidak mempunyai syarikat pun, sebaliknya dijalankan secara individu.
Kebanyakan portal berita ‘nyamuk’ ini juga tidak bergaji dan bergantung ‘hidup’ dengan iklan digital Google Adsense atau lain-lain aplikasi iklan setaranya.
Bagaimana pun, ada juga media-media ‘nyamuk’ ini mendapat pembiayaan pelabur tertentu sehingga boleh berkembang menjadi sebuah agensi media besar. Sebagai contoh Malaysia Gazette.
Walaupun dikategorikan ‘nyamuk’ namun portal berita ini mempunyai pengikut dan penggemarnya tersendiri, bergantung kekuatan segmen dalam portal masing-masing.
Ada portal berita yang mempunyai jutaan pengikut dalam media sosial terutama di Facebook, setanding malah mengatasi jumlah pengikut media arus perdana.
Portal berita ‘nyamuk’ ini boleh dibahagikan pula kepada dua kategori iaitu yang diusahakan oleh bekas wartawan atau mereka yang mempunyai asas kewartawanan.
Manakala kategori satu lagi ialah portal-portal berita yang dibangunkan oleh individu yang tidak mempunyai asas kewartawanan.
Portal berita yang diasaskan oleh mereka yang mempunyai asas kewartawanan, lebih-lebih lagi mereka yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan dilihat lebih beretika, baik dalam penulisan, penyampaian dan penggunaan media.
Laporan-laporannya juga diolah sendiri dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Jika diambil dari sumber media lain pun, mereka tidak lupa untuk memberikan kredit.
Wartawan-wartawan mereka mungkin amat jarang turun padang berikutan kekangan tenaga kerja dan modal, namun mereka ‘bijak’ untuk mendapatkan sumber berita, tanpa menjejaskan etika kewartawanan.
Manakala portal yang ditubuhkan oleh individu yang tidak mempunyai asas kewartawanan, kebanyakannya hanya mampu menciduk dan memplagiat bahan-bahan berita dari media lain tanpa beretika.
Mereka hanya ‘menunggu’ di depan komputer, meninjau setiap halaman portal berita lain yang ada dan akan ‘menyedut’ mana-mana berita yang mereka mahukan, tanpa rasa bersalah.
Portal berita seperti ini biasanya dikendalikan oleh seorang dua individu yang pada awalnya sebagai penulis blog.
Namun dengan perkembangan sistem pengurusan kandungan seperti Word Press dan Blogger, mereka boleh ‘mengubah’ blog-blog mereka menjadi portal berita.
PERANAN
Sebetulnya, peranan portal-portal berita ‘nyamuk’ ini tidak kurang penting sepertimana media arus perdana atau media digital yang lebih besar.
Jumlah pengikut media sosial mereka sahaja sudah cukup membuktikan sejauh mana pengaruh portal berita ‘nyamuk’ ini dalam masyarakat.
Malah ada dalam kalangan pembaca lebih meyakini laporan-laporan oleh portal berita ‘nyamuk’ berbanding media arus perdana.
Pengikut mereka juga sering memainkan peranan menyebarluaskan laporan berita yang diterima dengan menularkannya pula dalam sosial media lain.
Jadi, adalah silap jika ada mana-mana pegawai perhubungan media yang memandang ringan dan mengabaikan portal-portal berita seperti ini.
Walaupun mereka tidak hadir dalam sidang-sidang media atau menghadiri acara-acara yang diatur, tidak bermakna mereka tidak mengharapkan berita darinya.
Justeru, adalah wajar jika kenyataan-kenyataan akhbar diedarkan kepada portal-portal berita ‘nyamuk’ ini untuk setiap acara yang dianjurkan atau apabila ada maklumat yang mahu disampaikan.
Dengan demikian, portal-portal berita seperti ini tidak lagi hanya mengharap laporan itu disiarkan di media lain dan kemudian baharu dikutip daripadanya.
Begitu juga dari segi pengiklanan. Agensi pengiklanan perlu mengambil kira jumlah pengikut dan ‘kebolehpercayaan’ sesebuah portal berita ‘nyamuk’ dan tidak hanya tertumpu media arus perdana.
Dengan kos pengiklanan yang jauh lebih murah, namun dengan pengaruh dan sokongan pengikut, ia diyakini dapat memberi impak kepada pengiklan.
Kesimpulannya, portal-portal berita kecil bertaraf ‘nyamuk’ ini juga memainkan peranan besar dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.
Walaupun dengan dana dan tenaga kerja yang kecil, ada di portal berita ini mempunyai pengaruh tersendiri dan menjadi pendahulu dalam penyampaian sesuatu berita. – Edisi 9
- Penulis adalah pengasas bersama Edisi 9 dan mempunyai 24 tahun pengalaman sebagai wartawan dan editor di Utusan Malaysia.