25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tembak nelayan asing: anggota maritim patuh peraturan – KP

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan melakukan siasatan terperinci berhubung insiden dua bot nelayan Vietnam yang ditahan agensi itu sehingga seorang awak-awak maut semasa operasi menahan bot itu dilakukan, semalam.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu berlaku pada jarak 81 batu nautika atau 150 kilometer dari Muara Tok Bali atau di luar Laut Wilayah (melepasi 12 batu nautika) tetapi masih berada di dalam Zon Maritim Malaysia.

MOHD ZUBIL

Menurutnya, dalam kejadian itu, anggota penguatkuasa Maritim Malaysia terlebih dahulu telah mematuhi Rules Of Engagement penggunaan senjata api dengan melepaskan tembakan amaran tetapi tidak diendahkan oleh kru bot nelayan Vietnam terlibat.

Mereka seterusnya menyerang dengan membaling molotov cocktail dan senjata keras seperti batang besi, bongkah kayu besar dan spanar ke atas bot Penyelamat 7 yang boleh mengancam nyawa penguat kuasa dan harta kerajaan.

“Selanjutnya, bot nelayan terbabit bertindak lebih agresif dengan merempuh Bot Penyelamat 7 menyebabkan kru bot Maritim Malaysia tiada pilihan dalam usaha mempertahankan diri, nyawa dan aset dengan melepaskan tembakan ke arah bot nelayan tersebut.

“Rempuhan bot nelayan itu juga mengakibatkan bahagian hadapan kanan bot Penyelamat 7 remuk dan hasil siasatan awal mendapati terdapat beberapa senjata merbahaya yang dilemparkan dan mengenai badan dan tingkap cermin bot Penyelamat 7 hingga pecah.

BOM molotov cocktail ditemukan di dalam beberapa kotak penyimpanan ikan. – FACEBOOK APMM

“Selain itu, di atas bot nelayan Vietnam tersebut didapati beberapa senjata berbahaya disimpan bersama sejumlah bungkusan plastik bom molotov cocktail di dalam beberapa kotak penyimpanan ikan seolah-olah mereka telah membuat persediaan awal untuk melakukan tindakan ofensif apabila ditahan oleh agensi penguat kuasa Malaysia,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 19 nelayan asing Vietnam bersama dua bot bertindak ganas apabila merempuh dan melempar bom diesel ke atas bot Maritim Malaysia dengan cubaan untuk melepaskan diri daripada diperiksa sebelum ditahan Maritim Negeri Kelantan, semalam.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia mengambil perhatian serius akan tindakan ganas dan melampau nelayan-nelayan Vietnam yang boleh memudaratkan nyawa penguatkuasa dan harta kerajaan Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan Seksyen 7 (3) Akta APMM 2004 (Akta 633), Maritim Malaysia mempunyai kuasa penuh untuk menyiasat mana-mana kesalahan di bawah mana-mana Undang-Undang Persekutuan yang terpakai di Zon Maritim Malaysia. Dalam hal ini, kejadian tembakan berlaku dalam Zon Maritim Malaysia.

“Justeru itu, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh kepada penguat kuasa dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam manakala pencerobohan bot nelayan asing akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963,
“Siasatan telus akan dilakukan sewajarnya ke atas kejadian ini dan Maritim Malaysia akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta SOP sedia ada bagi mengawal perairan negara daripada dicerobohi oleh nelayan asing,” katanya.

Maritim Malaysia komited dalam meneruskan usaha membanteras isu pencerobohan bot nelayan asing menerusi Op Kuda Laut sejak kebenaran tangkapan semula ke atas bot nelayan asing selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 24 Jun lalu.

Jumlah tangkapan bot setakat ini adalah sebanyak 43 buah dengan jumlah kru Vietnam yang berjaya ditangkap adalah 487 orang.

Selain itu, Maritim Malaysia telah menahan sebanyak 135 bot nelayan asing dengan jumlah kru asing yang ditahan seramai 1,411 orang sepanjang operasi bersepadu Op Naga yang dilancarkan sejak April 2019 sehingga hari ini . – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan