25 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 20, 2021

Muzium Coklat Langkawi tarikan baharu pelancong

Must Read

PUTRAJAYA – Muzium Coklat Langkawi bakal menjadi salah satu lokasi tarikan pelancongan berasaskan coklat yang tersohor di Asia Tenggara setelah pembinaannya siap dalam masa dua tahun lagi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, projek bernilai RM15 juta itu dibangunkan oleh DR Group Holdings.

Untuk makluman, DR Group merupakan syarikat yang mengendalikan Muzium Coklat di Kota Damansara, Selangor.

“Langkah itu selari dengan hasrat kementerian untuk membangunkan hab coklat di pulau pelancongan itu seterusnya menjadikan Malaysia sebagai Raja Coklat di rantau Asia,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang lawatan kerjanya ke Muzium Coklat di Kota Damansara, baru-baru ini.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd Karli dan Pengarah Urusan DR Group, Datuk Dahlan Rashid.

Muzium
Mohd Khairuddin Aman Razali dan Mad Zaidi Mohd Karli (kiri) mencuba coklat yang dihidangkan di Muzium Coklat, Kota Damansara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairuddin berkata, pada masa ini terdapat sebanyak 53 syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko terdiri daripada empat syarikat multinasional dan 49 syarikat tempatan beroperasi di seluruh negara.

Beliau menambah, kementerian telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Coklat Lembaga Koko pada tahun 2013 bagi memperkasa industri pembuatan coklat.

“Sehingga 29 Julai 2020, sebanyak 224 usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut,” jelasnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, kementerian bercadang melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan melalui Pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Coklat.

Beliau berkata, seramai 23 bakal usahawan coklat yang telah mengikuti Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan pada 10 dan 11 Julai 2020 di Kuala Nerus, Terengganu.

“Kursus ini akan diteruskan pada 14 hingga 16 Ogos 2020 di Langkawi, Kedah dengan penyertaan seramai 30 bakal usahawan coklat buatan tangan,” ujarnya.

Secara keseluruhan, Mohd Khairuddin menyatakan, nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko Malaysia bagi lima bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM2.6 bilion.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Namun dijangkakan sumbangan pendapatan eksport produk-produk coklat akan menurun sebanyak 18 peratus pada tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya. – EDISI 9

Latest News

Perancah besi di Lebuh Raya DASH jatuh, dua pekerja cedera

CYBERJAYA - Dua pekerja pembinaan dipercayai cedera selepas perancah besi atau ‘scaffolding’ lebuh raya yang sedang dalam pembinaan runtuh...

More Articles Like This