27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Zahid, Hadi tanda tangan jemput Bersatu sertai MN

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Muafakat Nasional (MN), gabungan politik antara parti itu dan Pas menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  menyertai gabungan itu.

Menerusi ciapannya, Ahmad Zahid berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh timbalan presiden kedua-dua parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani surat menjemput Bersatu berdasarkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu,” katanya, hari ini.

Dalam perjumpaan bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hasrat parti itu menyertai Muafakat Nasional. 

Pada 6 Ogos, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional dipengerusikan kedua-dua Timbalan Presiden UMNO dan Pas telah mengambil keputusan untuk menerima Bersatu masuk ke dalam MN dan perkara itu dilaporkan dalam Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO keesokan harinya.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, surat mengenai persetujuan itu dihantar kepada Bersatu pada 13 Ogos dan MN menerima surat persetujuan dari Bersatu pada 18 Ogos.

Advertisements

MN diwujudkan secara rasmi pada September tahun lalu. Gabungan politik itu mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada Mac lalu dengan disokong  Gabungan Parti Sarawak (GPS).

AHMAD ZAHID HAMIDI – foto ASTRO AWANI

Pengumuman Zahid dibuat beberapa hari selepas Mohamad berkata, akar umbi parti itu “tidak selesa dan tidak bersetuju” dengan idea Bersatu menyertai MN.

“Ramai ahli UMNO masih ingat dengan penghinaan dan kata-kata kesat yang dilemparkan kepada kami (oleh pemimpin Bersatu sebelum PRU14) dan masih terasa sakit sehingga kini,” kata Mohamad baru-baru ini.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, partinya bersedia menyertai MN selepas dijemput berbuat demikian.

Kenyataan Zahid dibuat dua hari selepas Pas mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada jawatankuasa protem dengan Bersatu untuk mendaftarkan PN sebagai sebuah gabungan politik.

Ini berikutan pengumuman UMNO bahawa ia tidak akan menyertai PN, tetapi mahu memperkuatkan MN. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan