KUALA LUMPUR – Seorang warga emas terbunuh apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.
Lelaki berusia 63 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.18 petang.
Menurut Komander Operasi Kanan, Hafizan Hassan, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Lelaki warga emas itu memandu pacuan empat roda Toyota Land Cruiser yang dipercayai terlanggar tembok tempat letak kereta mengakibatkan kenderaannya terjunam ke bawah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hafizan berkata, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.