28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mahkamah Tinggi tolak permohonan semakan kehakiman 33 ADUN

Mesti Baca

KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini hari ini memutuskan menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dikemukakan oleh 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menolak permohonan itu atas alasan perkara itu tidak boleh diputuskan di mahkamah.

Kumpulan wakil rakyat itu yang diketuai bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman, memohon kebenaran untuk semakan kehakiman berkenaan pada 3 Ogos lalu selain memohon injunksi ke atas pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin memohon DUN dibubarkan pada 29 Julai.

Memetik Free Malaysia Today, keputusan dibuat selepas mahkamah mendengar hujah lanjut daripada peguam kumpulan wakil rakyat itu, Tengku Fuad Tengku Ahmad, Jabatan Peguam Negara Sabah, dan peguam kanan persekutuan, tentang adakah mendengar dan menentukan cabaran terhadap keputusan seorang Yang di-Pertua membubarkan DUN termasuk dalam bidang kuasa mahkamah.

Mahkamah juga meneliti hujah daripada Tengku Fuad tentang locus standi kumpulan wakil rakyat terbabit mencabar keputusan Juhar.

Brendon Keith Soh – foto FREE MALAYSIA TODAY

Peguam Besar Negeri Sabah, Brendon Keith Soh berkata, mahkamah mendapati keputusan Tuan Yang Terutama ‘non-justiciable’.

“Mahkamah juga mendapati responden pertama dan kedua bertindak mengikut Perlembagaan negeri,” katanya yang merujuk kepada Juhar dan Shafie.

Pembubaran itu membuka laluan kepada pilihan raya negeri kilat. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan rakyat Sabah akan mengundi pada 26 Sept.

Sementara itu, Soh memberitahu pemberita tiada permohonan penangguhan untuk menghentikan pilihan raya.

Bagi pihak kumpulan wakil rakyat, Fuad berkata pihaknya akan merayu keputusan itu dan perkara tersebut diserahkan lima minit selepas keputusan diberikan.

Beliau berkata mahkamah mendapati mereka berhak di sisi undang-undang (legal standing) untuk membawa perkara berbangkit ke mahkamah.

Dalam masa sama, hakim juga nampaknya mendapati Shafie hilang majoriti.

“Jadi beliau (ketua menteri) ada dua pilihan, letak jawatan atau mohon DUN dibubarkan.

“Bagaimanapun, ada dua perkataan daripada hakim yang kami tidak setuju, iaitu ‘nasihat’ dan ‘minta’. Kami akan bawa hal ini ke Mahkamah Rayuan kerana kami tidak bersetuju dua perkataan itu sama maksudnya.”

Sementara itu, kerajaan Negeri Sabah menghargai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar membubarkan DUN.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau melihat perkara itu berdasarkan perlembagaan negeri dan kepentingan untuk melindungi institusi Tuan Yang Terutama (TYT).

Beliau berkata, hak TYT untuk membubarkan DUN termaktub dalam perlembagaan negeri dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, kita bersyukur dengan usaha yang dilakukan dan kita amat menghargai keputusan itu berlandaskan dua perkara iaitu dari sudut undang-undang atau enakmen Sabah dan kedua melindungi institusi TYT.

“Hak membubarkan DUN bukan terletak pada mana-mana pihak, ia adalah kuasa mutlak TYT. Kita boleh cadang, minta tapi beliau yang luluskan. Jadi, saya amat menghargai keputusan dibuat pihak kehakiman dalam mendaulatkan undang –undang,” katanya.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan