27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hentikan debat terbuka, kembali ke meja rundingan – Pemuda Pas

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas menyeru semua pimpinan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar membawa perkara berbangkit melibatkan gabungan politik itu ke meja rundingan.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak sewajarnya berdebat secara terbuka kerana akhirnya tidak membawa apa-apa faedah bahkan semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat.

Beliau berkata, keputusan dalaman yang dibincangkan di peringkat tertinggi pula mestilah secara telus diterangkan dengan baik dan positif kepada rakyat, bukannya hanya bersifat kepentingan peribadi.

“Jika semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda Pas mencadangkan agar tidak perlu lagi diadakan rundingan.

“Dan semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian pada pilihan raya umum yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Dewan Pemuda Pas Malaysia meneliti dengan serius perkembangan yang berlaku di antara parti-parti yang berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini.

Sebagai contoh katanya, beberapa siri kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi berhubung isu penggunaan bendera Barisan Nasional (BN), penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) dan pendaftaran PN.

Menurutnya, Pemuda Pas berpandangan bahawa PN mahupun MN ialah manifestasi daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan sehingga membawa kepada jatuhnya kerajaan PH pada bulan Februari lalu. 

Ujarnya, ia berlaku apabila Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terlantiknya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan situasi pada masa itu.

“Rata-rata rakyat hakikatnya cukup berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Ditambah dengan suasana pandemik Covid-19 pada hari ini, kita yakin rakyat tidak mahu dihidangkan dengan cerita-cerita politik yang tidak boleh diterjemahkan untuk menjadi hidangan untuk mereka sekeluarga di atas meja.

“Dengan isu pekerja kehilangan mata pencarian hari ini, pertumbuhan ekonomi yang membimbangkan dan pelbagai isu yang berlaku, adalah sangat tidak sesuai untuk rakyat dihidangkan dengan pertembungan di antara parti-parti yang sama-sama mendokong kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” jelas beliau. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan