25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Elakkan prasangka, buktikan kejujuran, keikhlasan demi ummah

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

ARENA politik negara akan mencatatkan detik bersejarah dan menjadi satu lagi lambang penyatuan orang Melayu apabila Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai oleh UMNO dan Pas.

Seperti mana kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, parti itu yakin gandingan UMNO, Pas dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar ‘Melayu Raya’, bahkan juga memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya.

Sehubungan itu penulis berpendapat, persetujuan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional seperti mana dizahirkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya disambut dengan rasa syukur oleh semua orang Melayu khususnya mereka yang berada di dalam UMNO dan Pas.

Tidak dapat dinafikan, sedikit sebanyak akan ada perasaan tidak puas hati atau lebih tepat penolakan atau penentangan khusunya dalam UMNO memandangkan Bersatu adalah parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO dan turut dianggotai bekas ahli Parlimen UMNO yang melompat parti.

Tetapi semua itu tidak sepatutnya menjadi halangan atau ‘tembok besar’ yang boleh menggagalkan usaha menyatukan tiga parti besar orang Melayu tersebut. Justeru itulah seperti mana kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, permuafakatan itu perlu berasaskan kepada kejujuran dan keikhlasan.

UMNO dan Pas sudah membuktikan keikhlasan mereka apabila bersedia untuk menerima Bersatu secara terbuka, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab Bersatu membuktikan kehadiran mereka ke dalam Muafakat Nasional adalah ikhlas dan tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi.

Penulis sama sekali tidak meragui keikhlasan Muhyiddin yang juga Perdana Menteri tetapi apa yang dibimbangkan ialah ada dalam kalangan pemimpin Bersatu cuba bertindak mahu menjadi ‘abang besar’ memandangkan jawatan Perdana Menteri dikuasai oleh parti tersebut.

Ketegasan Dr.Ahmad Zahid dalam mempertahankan kepentingan Muafakat Nasional apabila menyatakan soal kejujuran dan keikhlasan tidak harus dipandang serong oleh mana-mana pihak.

Ia memandangkan Ahmad Zahid amat memahami sentimen sesetengah pihak di dalam UMNO yang tidak selesa dengan kehadiran Bersatu.

Mereka berhak mempunyai perasaan sedemikian kerana di dalam Bersatu ada bekas rakan seperjuangan mereka yang dilihat sanggup meninggalkan parti itu ketika dalam kesusahan selepas hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tambahan pula ada pemimpin-pemimpin Bersatu tidak berhati-hatilah bercakap dengan membuat kenyataan yang kadang kala dilihat mahu melayan UMNO seperti ‘melukut di tepi gantang’.

Ahmad Zahid di Slim River baru-baru ini menegaskan, ‘’Jangan main dengan BN dan Muafakat Nasional kerana mesej kita hanya satu jujur dan ikhlas untuk perkongsian kuasa.’’.

Kejujuran dan keikhlasan amat penting bagi merealisasikan impian untuk menyatukan parti-parti Melayu tersebut. Bagaimanapun pada masa sama, semua pemimpin, ahli dan penyokong UMNO serta Pas perlu adil dalam memperkatakan mengenai penyertaan Bersatu.

Advertisements

Paling penting ialah mengenepikan prasangka atau melakukan tindakan yang boleh mewujudkan prasangka kerana ia akan menghancurkan usaha menyatukan orang Melayu. 

Prasangka memang akan berlaku tetapi ia boleh dielakkan, jika semua pihak melihat kehadiran Bersatu sebagai satu lagi kejayaan menyatukan orang Melayu dalam usaha mengembalikan kekuatan kuasa politik mereka.

Pada masa pemimpin-pemimpin Bersatu juga perlu berhati-hati dalam tindakan dan percakapan supaya tidak menimbulkan prasangka dalam kalangan pemimpin dan penyokong UMNO serta Pas.

Kita bimbang jika prasangka ‘bergentayangan’ ia sudah pastinya membuka ruang kepada musuh-musuh politik ketiga-tiga parti itu untuk mengambil kesepakatan seperti mana kita saksikan sejak kebelakangan ini.

Mereka sebenarnya gelisah, mereka tidak mahu UMNO, Pas dan Bersatu bergabung  kerana gabungan kekuatan tiga parti itu akan mencetuskan gelombang sokongan cukup padu daripada rakyat khususnya orang Melayu.

Justeru jangan terkejut, jika kesepakatan ini akan diuar-uarkan berbentuk perkauman kerana ia melibatkan parti Melayu sedangkan Muafakat Nasional akan turut bekerjasama dengan parti-parti lain seperti MCA, MIC dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. 

Seperti mana ditegaskan oleh Takiyuddin yang menyatakan;

‘’Kerjasama yang digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan itu pasti akan mewujudkan iklim yang harmoni, kondusif dan berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara dan seluruh rakyat.’’

Oleh itu sama-samalah kita menyokong permuafakatan tiga parti Melayu. Mengelakkan prasangka, bersikap jujur dan ikhlas akan menjadi penentu kepada kejayaan penyatuan .

Seandainya kali ini kita gagal untuk bekerjasama, kita terus berpecah belah, kita terus berpolitik sesama sendiri sedangkan peluang untuk  bersatu sudah terbuka luas, percayalah kita akan terlepas peluang keemasan untuk mengembalikan kekuatan politik orang Melayu dan memperkasakan ummah.

Usaha mengembalikan kekuatan tersebut amat penting bukan sahaja kerana kuasa politik tetapi juga demi kepentingan agama Islam di samping memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia. 

Advertisements

Terkini

Kebaya diiktiraf warisan kebudayaan tidak ketara UNESCO

MALAYSIA berjaya mendapat pengiktirafan untuk satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya sempena sesi ke-19 Intergovernmental Committee...

Lagi Artikel Berkaitan