30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

UMNO perlu ketatkan syarat terima semula bekas pemimpin

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

UMNO perlu mengenakan syarat-syarat yang ketat sebelum menerima semula bekas pemimpin yang meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lawan terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Antara syarat yang boleh dikenakan ialah tidak dibenarkan bertanding sebarang jawatan di semua peringkat sekurang-kurangnya satu penggal bagi memastikan parti itu terus kukuh di peringkat akar umbi.

UMNO tidak boleh menerima bulat-bulat bekas pemimpin yang meninggalkan parti yang ‘terliur’ melihat rumput di halaman parti lawan lebih menghijau, dan mahu kembali selepas menyedari rumput tersebut beracun dan hampir mati.

Ini kerana pemimpin terbabit bukan sahaja melompat secara bersendirian sebaliknya membawa bersama para pengikut sehingga UMNO di kawasan yang diwakili mereka terumbang-ambing dan tidak kurang juga terpaksa ‘bungkus’.

Pemimpin terbabit juga jelas tidak mempunyai asas perjuangan yang sejati terhadap agama, bangsa dan tanah air sebaliknya lebih mementingkan ‘tembolok sendiri’ sehingga sanggup berpaling tadah apabila melihat UMNO ‘lemah’ dan tewas.

Tetapi mereka kemudian tanpa segan silu mahu kembali semula ke dalam parti selepas menyedari UMNO sudah pulih dan kembali kukuh konon untuk meneruskan perjuangan parti.

Jadi apakah para pemimpin seperti ini masih boleh diberi tempat untuk memimpin parti baik di perigkat cawangan, bahagian mahupun di peringkat Pusat?

Jangan, jangan diulangi sejarah bekas aktivis pembangkang yang kemudian menyertai semula UMNO dan telah menang tanpa bertanding dalam perebutan jawatan di peringkat bahagian, tetapi kini sudah melompat ke parti lain.

Advertisements

Terbaharu pemimpin terbabit dikatakan kembali ke pangkuan parti yang beliau perjuangkan sebelum ini. Apakah UMNO tidak pernah serik?

SALLEH SAID KERUAK – Sumber MStar

Justeru, apabila beberapa bekas pemimpin kanan UMNO Sabah termasuk Salleh Said Keruak yang meninggalkan parti untuk memohon untuk menyertai PKR/Pakatan Harapan (PH), mahu kembali ke pangkuan UMNO, mereka sewajarnya dikenakan syarat yang ketat.

Selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, UMNO Sabah hampir lumpuh selepas 13 pemimpin parti termasuk pengerusi negeri meninggalkan ‘gelanggang’ untuk bersama-sama kerajaan PH semasa itu.

Malah ekoran tindakan mereka, BN yang sepatutnya masih boleh membentuk kerajaan negeri, terpaksa melepaskannya kepada Warisan, parti yang mendukung PH ekoran kekurangan majoriti.

UMNO tidak boleh memandang ringan sikap para pemimpinnya yang tidak setia dengan perjuangan dan masih memberi peluang kepada mereka untuk menjadi pemimpin.

Sedangkan masih ramai lagi ahli UMNO yang berjuang siang dan malam, kekal setia bersama parti dan bertungkus-lumus mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti tetapi tidak mendapat tempat dalam parti.

Ingatlah UMNO telah dihukum oleh rakyat dalam PRU-14 lalu, dan sepatutnya parti itu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan termasuk menerima semula bekas pemimpin yang berpaling tadah.

Jangan sampai UMNO sekali lagi dihukum hanya kerana mengulangi kesilapan serupa. Tidak, jangan…

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan