MOHAMMAD YASIR JAAFAR
SAINGAN merebut slot ke Liga Juara Juara UEFA musim hadapan bagi pasukan Liga Perdana Inggeris kian terbuka apabila Leicester City dan Chelsea masing-masing tewas dalam perlawanan awal pagi tadi.
Leicester yang menduduki tangga ketiga liga dengan 55 mata gagal mengutip 3 mata penuh selepas kecundang 2-1 di laman Everton.
Everton mendahului dengan jaringan Richarlison pada minit ke-10 sebelum meraih gol kedua hasil sepakan penalti yang disempurnakan Gylfi Sigurdsson pada minit ke-16 di Goodison Park. Gol saguhati Leicester City diperoleh pada minit ke-51 menerusi jaringan K Iheanacho.
Sementara itu, Chelsea yang tewas 2-3 di tangan West Ham kini masih menghuni tangga keempat liga dengan mengumpul 54 mata.
Dalam perlawanan tersebut, West Ham berjaya menyumbat bola ke dalam gawang Chelsea pada minit ke-34 menerusi Tomas Soucek, namun gol tersebut dibatalkan pengadil selepas penelitian VAR kerana ofsaid.
Chelsea kemudian mendahului menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Willian pada minit ke-42 sebelum West Ham menyamakan semula kedudukan hasil tandukan Soucek tiga minit kemudian.
Hasil asakan West Ham di laman sendiri, London Stadium, Michail Antonio berjaya menyumbat masuk gol kedua pada minit ke-51. Namun, Willian sekali lagi menjaringkan gol bagi menyamakan jumlah gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-72.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan Frank Lampard gagal membawa pulang satu mata bagi mengikat keputusan seri dalam pertembungan Derby itu apabila Andriy Yamolenko menyumbat masuk gol kemenangan West Ham pada minit ke-89.
Keputusan kedua-dua pasukan itu secara tidak langsung membuka peluang kepada Manchester United dan Wolvehampton Wanderers yang menduduki tangga kelima dan keenam dengan masing-masing mengumpul 52 mata berbaki enam perlawanan.
Walaupun tipis, namun jurang yang sedikit antara pasukan turut membolehkan Arsenal yang berada di tangga ke-7 dengan 46 mata mengintai peluang dalam perebutan slot Liga Juara Juara musim hadapan sekiranya beberapa pasukan di atas mereka gagal beraksi cemerlang.
Arsenal menarik nafas lega apabila berjaya memanjat tangga liga daripada kedudukan 10 selepas membenam Norwich City 4-0 dalam perlawanan awal pagi tadi.
Liverpool yang sudah bergelar juara mendahului liga dengan 86 mata manakala Manchester City agak selesa di tempat kedua dengan 63 mata.
Empat pasukan yang menamatkan saingan di tangga teratas layak untuk beraksi ke Liga Juara Juara UEFA musim hadapan.