RAZALI AWANG
Nama Caeser kembali menjadi tular selepas pentadbiran Presiden Donald Trump melaksanakan Akta Perlindugan Orang Awam Syria Caeser (CSCPA) atau Akta Caeser pada Jun 2020.
Melalui kod rahsia Caeser, lebih 55,000 keping gambar yang merakamkan pelbagai bentuk siksaan yang dilakukan rejim Bashar al Assad ke atas rakyatnya sendiri didedahkan kepada dunia.
Segalanya bermula pada 2014 selepas salah seorang pegawai tentera Syria berpaling tadah membongkar apa yang berlaku kepada tahanan politik negara itu.
Sehingga kini tiada angka tepat jumlah sebenar mereka yang ditangkap kerana ada sebahagian mereka yang tiba-tiba hilang begitu sahaja dan sampai ke hari ini tidak dapat dikesan.
Dalam laporannya, Syrian Network for Human Right (SNHR) mendakwa lebih 130,000 sedang merengkok di pusat tahanan dan penjara di seluruh Syria.
Bagi jutaan mangsa konflik, gambar yang diseludup keluar menjadi satu pengesahan terhadap nasib sebenar yang tersayang.
Melalui maklumat yang dibawa keluar Caeser enam tahun lalu, mengesahkan lebih 11,000 meninggal dunia selepas didera dengan segala bentuk siksaan.
Ramai yang cuba membelek satu persatu untuk mengetahui nasib sebenar orang yang disayang selepas gambar mereka yang disiksa dan dipenjara kini tersebar luas di seluruh Syria.
Nadir Abbud Abu Yusif misalnya menemui ajal ketika mencari-cari gambar anaknya. Dia dikatakan mendapat serangan jantung kerana begitu tertekan melihat kesan siksaan yang diperlakukan rejim ke atas tahanan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi SNHR melaporkan 72 bentuk atau kaedah penderaan telah digunakan rejim. Namun segala kengerian itu masih tidak mengundang simpati masyarakat antarabangsa untuk menghentikan konflik di Syria.
Sejak bermula pada Mac 2011 hingga Januari 2020, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) melaporkan jumlah korbannya telah melebihi 585,000 nyawa.
Itu fakta mereka yang telah mati. Bagaimana dengan nasib dan kelansungan mereka yang hidup? Inilah Syria….
- Penulis adalah Perunding Media Syria Care