25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tuduh pimpinan Pas berkawan dengan penjenayah, Tony Pua kurang ajar

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee bersikap kurang ajar apabila melabelkan Presiden dan pimpinan parti itu berkawan dengan penjenayah dan memalukan.

Merujuk kunjungan pimpinan Pas ke kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes salah guna kuasa semalam, Tony Pua mempersoalkan mesej di sebalik kunjungan itu.

Menurut Khairuddin, Tony Pua seharusnya sedar bahawa beliau juga berkawan dengan seseorang yang sudah dihukum oleh mahkamah sebanyak dua kali dan telah dipenjarakan dua kali kemudian diberi pengampunan dan sekarang menjadi ahli Parlimen.

“Kalau guna neraca yang sama, Tony Pua tak rasa malu ke? Atau dia akan jawab, itu pendakwaan dan jenayah politik!”kata ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Khairuddin berkata, beliau sebolehnya tidak mahu mengulas tentang politik.

Namun tegasnya, Tony Pua secara kurang ajar melabelkan Presiden Pas dan pimpinan parti itu berkawan dengan penjenayah.

“Untuk rekod, Pas sebagai rakan tetap memberi sokongan moral kepada beliau (Najib) sepanjang tempoh hukuman.

“Kepada Datuk Seri Najib, kami tetap memberikan sokongan moral kepada anda untuk mendapatkan pengadilan di mahkamah seterusnya sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang,” tulis Khairuddin menerusi hantaran di Facebook.

Malam tadi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan danKhairuddin menziarahi Najib di kediamannya.

Bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran Facebook menyifatkan beliau menerima kunjungan ‘sahabat sejati’di rumahnya.

“Sahabat sejati bukan sahaja mereka yang bersama ketika susah atau senang. Tetapi mereka yang sentiasa mendoakan kita,” tulis Najib.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan