KUALA LUMPUR – Ibu bapa boleh menarik nafas lega apabila sesi persekolahan yang dihentikan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu akan disambung secara berperingkat mulai 15 Julai ini.
Masakan tidak, selama lebih tiga bulan anak-anak mereka seolah-olah berbulan madu apabila sekolah ditutup walaupun sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) diadakan secara dalam talian.
Sebetulnya sukar untuk ibu bapa memantau dan mengawal anak-anak mereka agar mengikuti sesi PdP secara atas talian, apatah lagi bagi mereka yang hanya menggunakan telefon bimbit untuk bertatap muka.
Justeru pengumuman oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini sudah tentu melegakan ibu bapa yang sebelum ini bimbang dengan fokus pembelajaran anak-anak mereka.
Mengikut pengumuman oleh Radzi yang disiarkan secara langsung di saluran TV petang ini, para pelajar tingkatan satu hingga empat, kelas peralihan, semester satu tingkatan enam serta murid-murid sekolah rendah di tahun lima dan enam akan kembali ke sekolah pada 15 Julai ini.
Manakala murid-murid tahun satu hingga empat di sekolah rendah pula akan bersekolah semula pada 22 Julai 2020.
Perkara itu diputuskan selepas percaya semua sekolah sudah bersedia untuk menerima pelajar secara sepenuhnya serta selepas mendapat pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada 24 Jun lalu, Kementerian Pendidikan membenarkan para pelajar yang menduduki peperiksaan awam tahun ini dibenarkan ke sekolah dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Manakala hari ini pula, murid-murid prasekolah pula dibenarkan kembali ke sekolah.
Bagaimanapun, aktiviti kokurikulum atau sukan di sekolah masih tidak boleh dijalankan.
Dalam sidang akhbar itu, Mohd Radzi memberitahu, keputusan penawaran kemasukan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ke Tingkatan 6 semester 1/2020 boleh disemak mulai hari ini melalui portal kementerian. – Edisi 9