26 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PdPc dalam talian: Ibu bapa pula semakin tertekan

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

“ANAK ada darjah 1, 3 dan 6. Semua ada kelas dalam talian dari Isnin sampai Jumaat. Kerja rumah nak kena hantar online, semua dokumen dicatat untuk markah prestasi.

“Laptop terhad, internet terhad, kami mak bapa nak juga guna. Dah naik juling tengok scroll up Whatsapp kelas dan kumpulan khas. Ahh… macam ini simpton Covid-19 tak muncul, timbul pula tekanan perasaan yang mula mengganas.”

Begitulah keluhan seorang ibu berhadapan dengan anak-anak yang terpaksa mengikuti pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara dalam talian lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

Penulis percaya bukan seorang dua ibu bapa yang berhadapan dengan situasi sebegini malah mungkin ada yang lebih parah. Belum lagi kerenah anak-anak yang enggan mendengar cakap ibu bapa yang bertindak sebagai guru di rumah.

Ibu di atas mungkin lebih bertuah kerana mungkin tinggal di bandar, mempunyai talian internet berkelajuan tinggi di rumah serta kelengkapan laptop walaupun sebuah untuk dikongsi dengan anak-anak dan ibu bapa.

Bagaimana dengan ibu bapa yang berada di luar bandar, yang tiada kemudahan internet berkelajuan tinggi kerana tidak mampu melanggan atau mungkin tiada liputan, tiada laptop dan kalau ada hanya sebuah telefon bimbit milik bapa dengan spesifikasi paling minimum?

Bayangkan jika anak-anak mereka juga perlu berkongsi sebuah telefon itu untuk menatap PdPc setiap hari yang diberikan oleh guru melalui Google Class atau menyampaikan arahan melalui Whastapp Group atau lain-lain aplikasi. Sudah tentu mereka lebih tertekan bukan?

Dari satu sisi mereka sangat mengharapkan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam PdPc setelah lebih sebulan tidak ke sekolah lantaran arahan PKP berikutan wabak Covid-19, namun pada masa yang sama mereka tiada kemudahan yang boleh membantu anak-anak mereka.

Sebenarnya semasa PKP inilah kita boleh melihat sejauh mana keupayaan kita sebagai ibu bapa untuk menjadi ‘guru’ di rumah, mendidik anak-anak sendiri bukan ramai pun, paling banyak tiga atau lima orang sahaja.

Itupun ramai ibu bapa mula mengeluh kerana terpaksa menjaga anak sepanjang masa. Kalau hari persekolahan, sekurang-kurang separuh hari atau bagi mereka yang bersekolah di sekolah agama pada sebelah petang, seharian anak-anak mereka di sekolah.

Tidak hairanlah ada ibu bapa mula mengeluh dan mengecam guru-guru kerana dianggap beruntung atau lebih keras mendakwa mereka makan gaji buta kerana tidak perlu datang bekerja kerana PKP sebaliknya setiap bulan masih menerima gaji.

Dalam hal ini, mari kita letakkan diri kita sebagai guru yang mengajar anak-anak kita yang di dalam kelas mempunyai 35 hingga 40 murid dengan pelbagai kerenah dan mereka terpaksa mengajar dua atau tiga subjek sehari dalam kelas yang berbeza.

Bayangkan juga apa tekanan yang dihadapi oleh guru-guru ketika PKP ini apabila ada pelajar mereka yang tidak mengikuti kelas online yang dilaksanakan oleh guru, tidak menghantar tugasan yang diberikan, keluar dari kumpulan Whatsapp atau Telegram sedangkan ada kalangan mereka akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Advertisements

Guru-guru sebetulnya berada dalam keadaan serba salah. Tidak melaksanakan PdPc secara online atau tidak memberikan tugasan kepada pelajar, mereka akan disoal oleh pentadbir sekolah, atau diserang oleh ibu bapa yang menuduh mereka makan gaji buta.

Apabila dilaksanakan PdPc, ibu bapa juga tidak berpuas hati dan menyerang juga guru kerana terlalu banyak memberi tugasan, atau mengadakan kelas-kelas online setiap hari, sehingga mereka ibu bapa tidak boleh menggunakan laptop atau telefon kerana terpaksa berebut-rebut dengan anak-anak yang mahu belajar.

Malah ada ibu bapa yang menganggap PdPc oleh guru ini benar-benar mengganggu kehiduapan harian mereka kerana mereka terpaksa ‘mengajar’ semua subjek kepada anak-anak mereka sehingga tidak sempat untuk melihat resepi-resepi baharu untuk juadah berbuka.

Allahu akhbar…, penulis mengucap panjang apabila membaca hantaran-hantaran dalam media sosial berhubung keluhan ibu bapa yang tertekan lantaran PKP yang berpanjangan sehingga anak-anak mereka tidak dapat bersekolah.

Ketahuilah Covid-19 ini bukan isu kecil, ia adalah wabak yang menular ke seluruh dunia dan sudah menjangkiti lebih 3 juta manusia dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Lebih 300,000 sudah meninggal dunia dan puluhan ribu lagi masih di pusat rawatan rapi.

Di negara kita sahaja wabak ini sudah mengorbankan lebih 100 mangsa dan dijangkiti kepada lebih 6,000 pesakit. Sehingga kini virus ini masih dikesan dalam kalangan rakyat dan PKP masih berlanjutan.

Bak kata seorang guru yang membalas kecaman netizen terhadap mereka di media sosial:

“Bukan kami yang minta Covid-19, bukan kami juga yang minta PKP. Isu di sini bukan masalah guru, bukan masalah sekolah tetapi masalah wabak yang melanda seluruh dunia.

“Mahukah tuan melihat anak-anak tuan dijangkiti Covid-19 lantaran kerana tidak mahu menjaga anak-anak sendiri di rumah walau sebentar? Bukan lama, habis PKP dan apabila sekolah kembali dibuka, anak-anak tuan akan kembali kepada kami.”

Justeru, dalam situasi sekarang sepatutnya semua pihak mengambil peranan masing-masing. Ubah normal kehidupan lama kepada kehidupan baharu.

Sudah tiba masanya ibu bapa mengubah normal dalam mendidik anak-anak. Jika selama ini tugas mendidik anak-anak kita diserah sepenuhnya kepada guru-guru dan sekolah tetapi dalam normal baharu pasca Covid-19, marilah kita sama-sama mendidik anak-anak kita.

Mari kita letakkan diri kita sebagai ‘guru tidak formal’ di rumah selain menyerahkan tugas kepada guru dan sekolah untuk memberikan pendidikan formal kepada anak-anak kita bagi memastikan kemenjadian mereka. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan