27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Al Jazeera tiada lesen pengeluaran filem, surat perakuan penggambaran

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Rangkaian berita antarabangsa Al Jazeera tidak mempunyai lesen pengeluaran filem di negara ini selain tidak mengemukakan permohonan surat perakuan penggambaran semasa menyiapkan dokumentari kontroversi mereka Locked Up In Malaysia’s Lockdown.

Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, butiran itu diperolehi mereka selepas menyiasat Al Jazeera International (M) Sdn Bhd.

“Hasil siasatan awal, Finas mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen pengeluaran filem dan tiada permohonan surat perakuan penggambaran bagi penggambaran dokumentari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, ia sedang menyemak sama ada dokumentari kontroversi “Locked Up In Malaysia’s Lockdown” terbitan agensi media antarabangsa itu mendapat lesen Finas sebelum ia dterbitkan.

Menterinya Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana antara syarat penghasilan setiap filem dan dokumentari di negara ini ialah syarikat atau produksi yang terlibat perlu mendapat izin daripada Finas.

“Finas akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera (M) International Sdn. Bhd di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013).

“Ini kerana stesen itu menjalankan aktiviti perfileman, iaitu aktiviti pengeluaran filem dokumentari tanpa lesen yang sah dari Finas,” kata kenyataan itu.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

Polis dilaporkan memanggil pengendali Al Jazeera serta wartawan yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dibuat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, selain Akta Komunikasi dan Multimedia. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan