25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PCOM hargai Ahli Parlimen Malaysia desak PBB singkir Israel

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ketegasan Ahli-ahli Parlimen di Malaysia mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyingkirkan rejim Zionis Israel mencerminkan prinsip mulia yang diperjuangkan oleh negara ini.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dalam kenyataan media hari ini turut menghargai sokongan Ahli-ahli Parlimen Malaysia tanpa mengira latar belakang politik membantah rancangan rejim Zionis Israel untuk mengilhakkan sebahagian besar wilayah Palestin di Tebing Barat.

“Tindakan itu membuktikan kesatuan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen Malaysia dari pelbagai parti politik di pihak kerajaan dan pembangkang untuk terus memperjuangkan keadilan untuk Palestin.

“PCOM juga ingin mengambil kesempatan untuk mengiktiraf dan melahirkan penghargaan terutamanya atas usaha Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang telah membentangkan usul khas mengenai usul ini dalam sidang Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.

“Usul ini seterusnya telah diterima dengan baik oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk dibahaskan dalam Kamar Khas Parlimen,” jelas PCOM.

PCOM juga menyatakan terima kasih kepada Malaysia kerana sentiasa tegas dalam menyokong dan menegakkan hak asasi manusia di seluruh dunia serta mempromosikan keadilan dan keamanan.

“Kami berharap Parlimen dan pemimpin politik dari seluruh dunia akan turut mengikut langkah tegas Malaysia dalam menyokong hak-hak Palestin dan perjuangan ke arah kebebasan dan membela nasib rakyatnya yang ditindas,” katanya.

Advertisements
Ahli
Rejim Zionis Israel memang patut disingkirkan dari PBB kerana bertindak zalim terhadap rakyat Palestin. Gambar: Palestinian Information Center

Sidang Kamar Khas Parlimen tersebut sebulat suara bersetuju dengan usul khas dibawa Syed Ibrahim Syed Noh mengenai isu Palestin termasuk menggesa kerajaan bekerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mendesak agar Israel disingkirkan dari PBB.

Usul berkenaan dibentangkan sebagai reaksi terhadap pelan damai yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang bakal menyaksikan rejim Zionis Israel mengilhakkan sebahagian besar wilayah Tebing Barat.

Syed Ibrahim berkata, ketika usul khas itu dibahaskan, pihaknya berharap semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersatu menunjukkan kesepakatan dan bersuara lantang dalam isu Palestin.

“Israel perlu diusir daripada perhimpunan dan semua agensi PBB memandangkan kegagalan negara itu memenuhi kewajipan dan aku janjinya sebagai anggota PBB seperti yang dinyatakan dalam Piagam PBB.

“Kita juga cadangkan untuk mengadakan petisyen yang ditandatangani semua anggota Parlimen kedua-dua belah pihak sebagai isyarat jelas bantahan Malaysia tentang Israel dan dicadangkan untuk dibawa ke Kedutaan Besar AS, ahli-ahli Parlimen serantau dan negara ASEAN agar kita dapat sokongan dari negara luar.

“Ahli-ahli Parlimen juga perlu memanfaatkan jaringan masing-masing di semua peringkat termasuk antarabangsa supaya kita dapat globalisasikan sokongan Palestin dan kita sentiasa menyokong bantahan terhadap Israel,” katanya.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan