26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Tahniah BN tidak pilih anak Najib calon PRK Chini

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

TAHNIAH kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO Pahang yang tidak mencalonkan Datuk Mohd Nizar Najib sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Sebaliknya menamakan seorang anak muda, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung 4 Julai ini.

Nama Mohd Nizar, anak dan cucu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdul Razak itu sebelum ini telah disebut-sebut sebagai calon BN di Chini.

MOHD NIZAR NAJIB

Dengan keputusan hari ini bermakna BN adalah parti yang jauh berbeza berbanding PKR, DAP bahkan Bersatu yang lebih mengutamakan anak beranak pemimpin mereka.

Penulis percaya Najib boleh sahaja menggunakan pengaruhnya untuk memberi laluan kepada anak dari perkahwinan pertamanya dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar itu sebagai calon PRK Chini tetapi itu tidak dilakukan.

Sebaliknya beliau merestui pemilihan Mohd Sharim, seorang anak Felda sekali gus membuktikan kematangan politik Najib, UMNO Pahang dan BN negeri.

Penulis pernah mengkritik cadangan beberapa pihak dalam UMNO yang mahukan Mohd Nizar sebagai calon BN dalam PRK Chini konon kerana “sebagai pewaris perjuangan, beliau wajib dipersiapkan.”

Bagi penulis, belum tiba masanya anak Ahli Parlimen Pekan itu menjadi wakil rakyat.

Lagipun pilihan raya kecil bukanlah gelanggang terbaik untuk menguji kematangan dan kebolehan Mohd Nizar. Tunggulah pilihan raya umum.

Andai Mohd Nizar dipilih menjadi calon bagi mewakili rakyat Chini, DUN di dalam kawasan Parlimen Pekan, maka UMNO dan BN tidak ubahlah seperti Bersatu, DAP dan PKR yang sebelum ini digelar sebagai parti anak beranak.

Tidak, UMNO dan BN tidak boleh dilihat seperti itu.

Hebat manapun ketokohan Mohd Nizar ini, biarlah dia beradu di gelanggang politik selepas ketiadaan bapanya di gelanggang yang sama.

Advertisements

Biarlah dia naik atas kapasiti kebolehan dan ketokohan peribadi dan bukannya kerana beliau “anak dan cucu” Perdana Menteri.

Kita tidak mahu amalan dalam Bersatu di mana Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘dilihat bersungguh-sungguh’ mahukan anaknya, Mukhriz menduduki jawatan tertinggi parti dan kerajaan.

Begitu juga keadaan dalam PKR di mana jawatan-jawatan utama parti dikuasai oleh mak-bapa-anak atau dalam DAP di mana dikuasai oleh Lim anak beranak.

Tidak, UMNO dan BN tidak boleh menjadikan amalan dalam parti-parti pembangkang ini sebagai contoh semata-mata untuk menaikkan nama “anak Najib”.

Ingatlah UMNO dan BN telah dihukum oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana begitu banyak kepincangan dalam amalan politik para pemimpin parti baik di peringkat Pusat, bahagian hinggalah cawangan.

Salah satu amalan tidak sihat oleh pemimpin UMNO sebelum ini ialah menjadikan parti itu sebagai pewaris keturunan mereka.

Ada bapa yang enggan melepaskan jawatan kepada orang lain semata-mata untuk memberi laluan kepada anak sebagai pemimpin seterusnya.

Terdapat juga sayap-sayap parti di peringkat cawangan atau bahagian yang dikuasai oleh anak beranak dan orang lain seolah-olah langsung tidak diberi peluang.

Akibatnya ahli-ahli di peringkat akar umbi mula berpaling tadah, sama ada menyeberangi ke parti lain atau memboikot semasa pilihan raya, yang akhirnya merugikan parti sendiri.

Justeru, jadikanlah kekalahan BN dalam PRU-14 lalu sebagai pengajaran dan salah satunya untuk tidak menjadikan UMNO sebagai parti pewaris keluarga sendiri.

Sebab itulah penulis menyambut baik keputusan BN Pahang yang mencalonkan Mohd Sharim dalam PRK Chini nanti dan bukannya anak bekas seorang Perdana Menteri.

Tahniah BN Pahang, terima kasih Najib Razak!

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan