30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Pak Malim pergi meninggalkan jasa

Mesti Baca

HARI ini dunia sastera negara kehilangan seorang karyawan yang prolifik dalam berkarya dengan pemergian Allahyarham Malim Ghozali PK.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2013 itu menghembuskan nafas terakhir selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, Selangor, kira-kira pukul 11.20 pagi, hari ini.

Allahyarham Mohd Ghazali Abdul Rashid pergi buat selama-lamanya pada usia 71 tahun dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kota Damansara selepas Asar.

Antara karya-karya yang ditinggalkan oleh Pak Malim adalah novel Redang, Daun dan Janji Paramaribo serta antologi cerpen Usia dan antologi puisi Gemaruang.

Beliau yang pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak Darul Ridzuan pada 2014 dilahirkan di Malim Nawar, Perak.

Allahyarham menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Panjang sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Selepas lulus Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Dua Atas) dalam bidang Pengajian Melayu/Antropologi Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1973, beliau mengambil Diploma Lepasan Ijazah, Pentadbiran dan Undang-Undang Perkapalan, Universiti Wales, United Kingdom pada tahun 1978.

Setelah menghasilkan novel pertamanya Redang (DBP: 1988), beliau mengembara ke Republik Suriname.

Ketika mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Centre for Creative Artises, Amerika Syarikat, beliau menyiapkan novel keduanya Janji Paramaribo (DBP: 1990) yang berlatar belakang Republik Suriname.

Pada musim gugur 2007, beliau mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa, Amerika Syarikat.

Pada Julai 2008, beliau terpilih sebagai pembimbing genre cerpen di bengkel Mastera, Bogor, Indonesia. Selain menulis cerpen dan novel, beliau turut menulis puisi dan esei, diterbitkan di pelbagai rumah penerbitan.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Pak Malim pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) selama 21 tahun sebelum bersara awal pada 1994 untuk memberi tumpuan terhadap bidang penulisan dan penyelidikan.

Salah seorang teman rapat Allahyarham ialah bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.

Berikut adalah catatan beliau dalam Facebook setelah mendengar khabar pemergian Pak Malim ke negeri abadi:

Pagi tadi lebih kurang pukul 9, kawan saya Ratnawati Jamil menelefon. Apabila dijawab, suaranya tenggelam dalam esak yang panjang. Saya menenangkan. Yang terdengar oleh saya hanya, “Malim kritikal.”

Malim Ghozali PK adalah sahabat kami sejak lama sebelum berkahwin dengan Ratna tahun 1995. Kami selalu berjumpa apabila ada masa yang luang.

Lebih kurang sejam kemudian Malim yang sedang dirawat di Hospital Serdang kerana ketumbuhan di paru-paru telah kembali menghadap Tuhan.

Saya kehilangan sahabat yang rapat. Dunia sastera kehilangan sasterawan yang gigih berkarya dan menduniakan sastera Melayu.

Kepada Ratna, Malim bukan harimau yang meninggalkan belang tetapi insan mulia yang meninggalkan jasa.

Al-Fatihah, semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Pak Malim dan menempatkan rohnya bersama golongan yang beriman dan beramal soleh. – EDISI 9

Terkini

Jarak bukan penghambat kemesraan menyambut Aidilfitri

Oleh DR AZMAWATY MOHAMAD NOR HARI Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia adalah masa untuk keluarga dan...

Lagi Artikel Berkaitan