30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Genre puisi esei berkembang di rantau Nusantara

Mesti Baca

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

KOTA KINABALU – Genre puisi esei sudah bermula di Indonesia sembilan tahun lalu sebelum berkembang ke negara ini, namun ia masih asing dalam kalangan penutur bahasa Melayu dari negara-negara serantau.

Di Singapura, Brunei Darussalam, selatan Thailand dan selatan Filipina misalnya ia masih asing.

Ini diakui penulis dari Singapura, Hatinah Ahmad, iaitu penulis terawal menerbitkan puisi esei di republik itu yang berjudul ‘Senja Merah: Puisi Esei Kisah Wak Cantok’.

“Puisi Esei mungkin masih terlalu asing kepada penulis puisi di Singapura tetapi di Malaysia dan Indonesia, mereka sudah pun menerbitkan dua buku antologi bersama.

“Saya percaya genre ini akan berkembang ke negara lain seperti Singapura, Brunei dan selatan Thailand, mungkin juga ke selatan Filipina” katanya pada acara Diskusi Bulanan Komuniti Puisi Esei ASEAN melalui platform Google Meet, baru-baru ini.

puisi esei
Antara yang mengambil bahagian dalam Diskusi Bulanan Komuniti Puisi Esai bertema ‘Puisi Esai dan Sastera Diplomasi (Seri Puisi Esai Indonesia – Malaysia – Kemilau Satu Langit’. – Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Diskusi Bulanan Komuniti Puisi Esei bertema ‘Puisi Esai dan Sastera Diplomasi (Seri Puisi Esei Indonesia – Malaysia – Kemilau Satu Langit’ menampilkan panelis, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Ramzah Dambul.

Program itu turut disertai Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani; Presiden Komuniti Puisi Esei ASEAN, Datuk Jasni Matlani dan Pengagas Puisi Esei, Dr Denny JA.

Dalam pada itu, Jasni yang juga Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) berkata, Puisi Esei bukan sahaja menjadi satu cara baharu sastera berkomunikasi dengan audien, malah lebih penting temanya tegar dengan isu kemanusiaan seperti masyarakat tanpa diskriminasi.

Katanya, tema yang diangkat kebanyakan genre itu bukan saja sesuai dengan masyarakat di Malaysia dan Indonesia malah melangkaui budaya Asia Tenggara.

Jasni Matlani
JASNI MATLANI – Gambar: BAHASA

Beliau berkata, gagasan yang dibawa Denny JA semakin diterima dan turut dirasakan kesannya di semua negara ASEAN kerana berjaya mengekspresikan hubungan antara budaya, masyarakat dan negara.

Puisi Esei sangat penting kerana memperkayakan khazanah sastera dan memberi pilihan kepada penyair melakukan penyelidikan dan nota kaki dan ia bukan sekadar mengkolaborasikan sisi psikologi individu malah memaparkan isu sosial.

Katanya, lebih menarik Puisi Esei sudah dikembangkan menjadi filem serta genre itu panjang berbabak yang umumnya fiksyen sejarah serta sememangnya sesuai diangkat ke layar perak.

“Puisi Esei adalah hasil dunia sastera yang selalu berinovasi sesuai dengan perkembangan zaman dan ia diakui menyegarkan dunia sastera,” katanya.

Untuk rekod, pada Mac lalu, Denny JA yang juga penyair dan tokoh media sosial Indonesia dinobatkan penerima Anugerah Sastera Kemanusiaan dan Diplomasi ASEAN 2021 sempena Malam Perasmian Festival Penulis Sabah.

Ini berikutan sumbangannya dalam sastera genre Puisi Esei dan Cerpen Esei yang dipeloporinya di Indonesia bertema kemanusiaan dan diplomasi telah menginspirasikan perkembangan genre itu di rantau ini.

NORHAYATI TASIF
NORHAYATI TASIF – Gambar: BAHASA

Sementara itu, dua penulis dari Sabah menang pertandingan menulis Puisi Esei peringkat ASEAN tahun lalu, iaitu Rubiah Nordin dari Kota Kinabalu, dan Norhayati Tasif, dari Putatan.

Pertandingan serantau itu anjuran Komunitas Puisi Esei Indonesia dengan kerjasama BAHASA. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan